PUTRAJAYA: Datuk Ruji Ubi dan Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz 'bertukar portfolio' apabila masing-masing dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang baharu.

Pelantikan Ruji sebagai KSU KDN dan Wan Ahmad Dahlan sebagai Ketua Pengarah ICU masing-masing berkuatkuasa Isnin hadapan (20 Feb), umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini dalam kenyataan berasingan.

Mohd Zuki berkata pelantikan Ruji, 53, adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepimpinan dan pengalaman luas beliau sepanjang memegang beberapa jawatan di pelbagai bidang seperti keselamatan, pengurusan pemantauan projek pembangunan dan pengurusan sumber manusia.

Ruji yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun, pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Pertahanan dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.

"Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau menggalas amanah mendokong misi dan visi KDN, dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin dan kesejahteraan rakyat terpelihara bagi merealisasikan hasrat Malaysia Madani," kata Mohd Zuki.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata Wan Ahmad Dahlan, 57, mempunyai pengalaman luas dalam bidang dasar, pengurusan, pengkuatkuasaan, keselamatan dan perkhidmatan awam.

"Saya berkeyakinan penuh dengan kelayakan, pengalaman dan kredibiliti beliau, mampu menerajui ICU dalam meneruskan pemantauan pelaksanaan program atau projek pembangunan kerajaan secara keseluruhan, bagi merealisasikan hasrat Malaysia Madani," katanya.

Wan Ahmad Dahlan, yang telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun, juga pernah berkhidmat sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

-- BERNAMA