KUALA LUMPUR: Kerosakan struktur dan landasan stesen LRT berhampiran Stesen Bandaraya di ibu negara berpunca daripada pergerakan tanah dari kerja-kerja pembinaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata susulan kejadian itu, pihak Prasarana perlu menanggung kos perkhidmatan pengangkutan sementara disebabkan penutupan stesen berkenaan termasuk kos pembaikian mencecah RM38 juta.

"Jadi sudah tentu kerosakan ini telah pun disahkan oleh jururunding berpunca daripada pergerakan tanah dari kerja-kerja pembinaan.

"Apa yang kita telah laksanakan adalah kita buat dulu kerja pembaikan dan kita tuntut pampasan, jumlah keseluruhan pampasan yang kita tuntut adalah RM38 juta.

“Ini termasuk kos pembaikan dan juga kos yang perlu ditanggung oleh Prasarana kerana perlu menanggung kos perkhidmatan pengangkutan sementara, kos yang telah pun dituntut Prasaran dan dihantar kepada pihak peneraju adalah sebanyak RM38 juta," ujarnya ketika menghadiri sesi walkabout bersempena pembukaan semula perkhidmatan LRT antara stesen Bandaraya dan stesen Masjid Jamek, pada Sabtu.

Katanya lagi, perkara ini sewajarnya menjadi pengajaran dan iktibar kepada mana-mana pemaju untuk memastikan memenuhi syarat-syarat pembinaan dan merujuk agensi pengangkutan terlebih dahulu.

“Ini sesuatu yang kita ambil iktibar dan pihak Prasarana akan memantau dengan dekat sebarang kerja-kerja pembinaan di sebelah stesen atau mana-mana stesen.

"Ini menjadi pengajaran kepada kita untuk lebih berhati-hati dan kita juga menasihatkan supaya semua pihak PBT perlu memastikan bahawa mana-mana tapak pembinaan berdekatan mana-mana stesen pengangkutan awam mengambil kira faktor-faktor keselamatan sebelum sesuatu kelulusan diberikan oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau Prasarana mesti dimaklumkan sebelum sesuatu projek itu diluluskan," katanya lagi.

Sebelum ini laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya ditutup sejak 27 Januari 2023 susulan daripada kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat melalui kawasan berkenaan.