BANTING: Ibarat jatuh ditimpa tangga.

Dugaan yang besar terpaksa dilalui Saroni Minhad, 72, apabila rumahnya di Kampung Bukit Changgang, Banting hangus dijilat api ketika banjir melanda Ahad lalu.

Lebih 90 peratus rumahnya yang dibina sejak 40 tahun lalu hasil keringat sendiri musnah dijilat api.

Menceritakan detik kejadian, Saroni, ketika itu, sedang berehat kira-kira jam 11 malam pada Ahad.

"Masa tu saya duduk di beranda, jadi saya mengalihkan motor di depan sebab air naik (banjir).

"Anak saya menjerit api, saya tengok api sudah menjulang. Saya simbah air dua kali pun api dah tinggi, jadi saya terus lari tinggalkan rumah.

"Tiada apa-apa dapat saya bawa, kad pengenalan, duit semua habis. Saya takda apa yang saya pegang masa keluar, saya pakai kain sahaja masa tu," jelasnya kepada Astro AWANI pada Khamis.

Rumahnya juga tidak terlepas dinaiki air banjir pada malam kejadian.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati, kawasan dapur sehingga ruang tamu musnah dan tiada perabot yang dapat digunakan lagi.

Keadaan bahagian dapur yang musnah akibat banjir dan kebakaran. - Astro AWANI

"Kali ini saya tengok rumah, tidak boleh nak cakap apa-apa, musnah semua. Macam mana pun tidak boleh nak salahkan sesiapa, itu kehendak Allah.

"Kita buat bertahun-tahun nak menyenangkan anak-anak semua tetapi sudah macam ini, dah nasib itu sahaja," jelasnya sambil mengesat air mata.

Mengenangkan nasib yang menimpanya, kadang kala Saroni termenung setiap kali melintasi rumahnya.

Keringat yang dicurahkan untuk membina mahligai demi kesenangan keluarganya itu hilang sekelip mata.

Sorani melihat keadaan rumahnya yang dibina selama 40 tahun. - Astro AWANI

Malah kediamannya itu menjadi tempat berkumpul seluruh ahli keluarganya terutama 13 anak serta 35 cucu.

"Biasalah, apa yang beri bantuan itu, beberapa sahajalah boleh macam ini kan kita nak bersihkan balik, banyak juga yang modal diperlukan.

"Saya buat rumah atas ini dulu anak saya nombor tiga, sekarang dia umur 40 tahun. Saya dapat duit KWSP 55 tahun saya sambung sebelah, selepas itu ada rezeki saya sambung.

"40 tahun saya buat rumah ini semua, sampai sekarang ni musnah, sedih juga tapi redha sahaja," katanya lagi dalam nada sebak.

Saroni dan isterinya kini tinggal di rumah anaknya berhampiran kawasan itu.

Dalam kejadian jam 11 malam pada Ahad, anggota Bomba dan Penyelamat, jelas Saroni, terpaksa mengambil masa hampir sejam bagi memadamkan kebakaran itu.