KAPIT: Seramai 16 penduduk daripada tiga keluarga dari Rumah Panjang John Ramba, Sungai Sesibau dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan itu dinaiki air hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kapit Mohamad Noor, berkata PPS itu dibuka di Asrama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Kapit.

Katanya, mangsa terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita dewasa, tiga warga emas, dua kanak-kanak dan seorang orang kurang upaya (OKU).

"PPS yang terletak di Jalan Bleteh, Kapit itu telah dibuka pada 6.45 petang dan sehingga 8.30 malam ini, kesemua mangsa telah dipindahkan dengan selamat dan bantuan sudah disalurkan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Pengarah Kebajikan Sarawak, Noriah Ahmad, sejurus pembukaan PPS tersebut, pihaknya mengaktifkan bantuan awal kepada semua mangsa terlibat.

"Ini termasuk membekalkan makan malam, kelengkapan tidur dan kit kebersihan diri," katanya.

Berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sekitar jam 6 petang tadi, Kapit merupakan antara kawasan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan hujan lebat dan ribut petir.

Kawasan lain termasuklah Bintulu, Miri dan Limbang.