ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan mewujudkan Rumah Pesona Wanita Johor yang berperanan sebagai pusat perlindungan sementara khusus kepada mangsa keganasan rumah tangga dan penceraian.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail berkata pusat perlindungan wanita kendalian Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim (YPKDT) yang terletak di Jalan Petri di Johor Bahru itu dijangka beroperasi mulai Jun depan.

"Selain mangsa keganasan rumah tangga, rumah ini akan memberi perlindungan secara percuma kepada wanita yang memerlukan bantuan seperti dalam proses penceraian dan memerlukan tempat tinggal sementara sekiranya mereka dari luar daerah," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Keluarga Johor 2023 di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Khairin-Nisa berkata kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Kasih Suri Aspirasi Keluarga Johor iaitu program galakan simpanan masa depan yang memberi manfaat kepada 12,773 penerima yang layak.

Beliau juga berkata Program Intervensi Keluarga dan Komuniti MIND-X akan dilaksana di seluruh daerah di Johor untuk meningkatkan kesejahteraan psikologi serta mental masyarakat.

Terdahulu, Onn Hafiz ketika berucap memaklumkan seramai 4,700 orang daripada empat juta populasi penduduk di Johor dikategorikan sebagai miskin tegar.

Katanya bagi memastikan hala tuju Johor Maju dapat dicapai, pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) perlu menggembleng tenaga bagi memastikan angka itu menjadi sifar menjelang 2027.

Beliau berkata kerajaan negeri dan Persekutuan turut memberikan pelbagai bantuan, termasuk RM10 juta daripada kerajaan negeri, bagi menjaga kebajikan rakyat di bawah YPKDT selain RM22 juta peruntukan hasil kerjasama JKM dengan kerajaan negeri yang turut dibantu oleh kerajaan Persekutuan.

"Dalam setahun, berkat gabungan semua pihak termasuk MAINJ dan badan bukan kerajaan lain, di bawah usaha kerajaan negeri, hampir 150,000 orang dibantu tahun lepas. Usaha ini kita akan teruskan supaya tidak ada golongan tercicir tanpa mengira kaum dan agama," katanya.

-- BERNAMA