KINABATANGAN: Seorang kanak-kanak lelaki rentung sementara lima lagi melecur dalam satu kebakaran di Kampung Perpaduan, dekat sini, tengah malam tadi.

Mangsa yang rentung dikenali sebagai Mohd Adlinsyah Mohd Adsni, 6 tahun, manakala lima lagi mangsa adalah ibu bapa dan adik-beradiknya, berusia antara tiga tahun dan 43 tahun.

Sementara itu, dua lagi penghuni berjaya menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.40 tengah malam mengenai kebakaran melibatkan rumah yang didiami lapan sekeluarga itu.

Susulan itu, enam anggota dihantar ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, operasi memadamkan api sepenuhnya segera dijalankan.

"Sebaik api berjaya dikawal pada jam 2.04 pagi, pemeriksaan menemui seorang kanak-kanak rentung di bilik.

"Lima lagi mangsa melecur lima hingga 70 peratus di badan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Nurul Azlan Shah, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Kinabatangan.

Mayat mangsa yang rentung diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Rumah berkenaan hangus sepenuhnya dan sebuah motosikal turut musnah.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.56 pagi. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.