NATIONAL
Rumah tidak harmoni cetus perilaku buli - Dr Rashidi
Menurut Dr Rashidi Mohamed, kanak-kanak yang membesar dalam suasana rumah yang tidak harmoni sering berdepan tekanan emosi yang tinggi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persekitaran rumah yang penuh konflik, layanan kasar serta pengabaian emosi terhadap anak-anak boleh menjadi antara punca utama kepada tercetusnya perilaku buli dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Pensyarah dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Dr Rashidi Mohamed Pakri Mohamed, kanak-kanak yang membesar dalam suasana rumah yang tidak harmoni sering berdepan tekanan emosi yang tinggi.
“Rumah yang tidak harmoni, pergaduhan yang berterusan, layanan kasar dan pengabaian emosi membuatkan anak rasa tertekan, tidak selamat dan sentiasa marah.
"Mereka tiada ruang yang selamat untuk meluahkan emosi, jadi mereka melepaskan tekanan itu dalam bentuk fizikal - biasanya di luar rumah, termasuk di sekolah.” jelas beliau dalam satu temu bual eksklusif bersama AWANI Pagi, hari ini.
Tambah beliau, situasi ini menjadi lebih parah apabila ibu bapa sendiri tidak menunjukkan contoh komunikasi yang sihat dalam pergaulan harian mereka.
Dalam hal ini, Dr Rashidi menekankan pentingnya komunikasi berkesan, sokongan emosi dan nilai belas ihsan dipupuk sejak usia kecil - bukan sekadar dalam bentuk kata-kata, tetapi melalui teladan dan tindakan seharian.
“Pertama sekali, ibu bapa perlu menjadi contoh. Cara mereka berinteraksi dengan orang sekeliling - sama ada dengan saudara-mara, mahupun antara suami dan isteri – semuanya memainkan peranan penting.
"Ia melibatkan nilai moral dan pemantauan di situ. Jadi, mengajar empati dan keprihatinan perlu bermula dari ibu bapa. Semuanya datang daripada cara komunikasi ibu bapa dengan orang sekeliling dan anak-anak.
"Kalau kasar dengan anak, selalu ‘put the child down’, itu menghalang perkembangan emosi anak. Dia akan rasa itu normal dan akhirnya membawa ‘normal’ yang salah itu ke luar rumah," tegas beliau lagi.
Jelas Dr Rashidi, membina rumah sebagai ruang yang selamat secara emosi adalah asas kepada pembentukan anak-anak yang penyayang, bertimbang rasa dan tidak mudah cenderung kepada tingkah laku agresif.
Sebelum ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, antara punca utama buli membiak di sekolah bertitik tolak pada masalah yang bermula di rumah.
Kenyataan itu dibuat susulan kejadian buli yang tular di media sosial pada pertengahan tahun lepas, membabitkan seorang pelajar yang dibuli di sebuah MRSM di Seberang Perai Selatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap budaya buli yang semakin berleluasa di institusi pendidikan.