IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memasang alat khas mengesan pergerakan tanah di sekitar lokasi dua mangsa dipercayai tertimbus di kawasan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh.


Alat itu yang dipasang Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) JBPM bagi memastikan keselamatan pasukan mencari dan menyelamat.


Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, ketika ini, dua buah jengkaut digunakan untuk memecahkan bongkah batu besar bagi membuat laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus.


"Pihak SMART juga kita telah perolehi yang mana mereka telah meletakkan satu peralatan iaitu structure movement censor yang mana alat ini ia akan mengeluarkan satu tanda amaran berbunyi sekiranya ada gerakan-gerakan daripada bukit yang berdekatan," katanya ketika ditemukan di lokasi di sini hari ini.


Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada dua mangsa yang terselamat, dua mangsa yang masih tertimbus dipercayai berada berhampiran antara satu sama lain.

[TERKINI] Runtuhan tapak kuari, dua selamat, dua masih hilang



Kedua-dua mangsa juga dipercayai tertimbus di bawah timbunan batu pada kedalaman antara 10 hingga 12 meter.


"Proses ini juga kita jangka akan mengambil masa yang agak lama juga, sebab apa, kita bergantung kepada keadaan cuaca.

"Sekiranya hujan, maka kita terpaksa memberhentikan tindakan proses untuk mencari dan disamping itu juga, kita akan mendapatkan khidmat nasihat daripada JMG yang berkaitan dengan struktur bukit-bukit yang berkaitan," katanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus.


Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49 dan Itam Lasoh, 43.


Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.