IPOH: Kerja-kerja pengalihan batu bagi mengenal pasti kedudukan tepat dua mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands sejak Selasa yang dihentikan sementara pagi tadi, disambung semula pada 12.30 tengah, Isnin. 

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memberitahu terdahulu kerja-kerja berkenaan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu terpaksa dihentikan sementara pada jam 11 pagi ekoran berlaku runtuhan bongkah batu kecil di kawasan sekitar.

Jelasnya, kerja-kerja pengalihan bongkah batu besar dilakukan syarikat kuari bagi membuka laluan ke kedudukan sebenar mangsa tertimbus, selain ia turut dipantau dari segi keselamatan oleh pasukan penyelamat.

Tambahnya, sebanyak tiga jengkaut digunakan dalam kerja-kerja pengalihan batu untuk operasi mencari dan menyelamat dua mangsa berkenaan pada hari ini.

Terdahulu kerja-kerja berkenaan yang bermula pada jam 8.30 pagi itu terpaksa dihentikan sementara pada jam 11 pagi ekoran berlaku runtuhan. - Foto JBPM

Menurutnya lagi sebelum kerja-kerja berkenaan dimulakan semula pada tengah hari, pasukan JBPM bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah melakukan proses pemantauan keselamatan.

BACA: Runtuhan batu kuari: Syarikat terlibat ada lesen operasi

BACA: Kebanyakan kuari batu kapur di Perak dimiliki syarikat persendirian - MB

“Laluan dilakukan oleh tiga jengkaut di mana satu jengkaut ditugaskan untuk pengalihan batu, sementara dua lagi ditugaskan untuk kerja-kerja pemecahan bongkah batu besar dan proses penggerudian.

“Jarak terkini laluan ke titik lokasi (dipercayai) mangsa tertimbus sekitar 20 meter.

[TERKINI] Runtuhan tapak kuari, dua selamat, dua masih hilang

“Kerja-kerja diteruskan sehingga ke titik lokasi mangsa, sebelum Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Unit Anjing Pengesan (K9) digerakkan bagi mengesan kedudukan sebenar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam kejadian pada jam 9.15 pagi Selasa lepas itu, di tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat sini, dua lelaki dipercayai tertimbus dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43.

Manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan.