Runtuhan struktur: Siasatan terperinci akan dijalankan JKKP dan JPN - Zuraida

Fareez Azman
Februari 14, 2020 15:34 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian runtuhan struktur bangunan di Taman Desa, Ibu Negara pada Jumaat. Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Susulan kejadian runtuhan struktur bangunan di Taman Desa pada Jumaat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan di lokasi kejadian.
Jelasnya ketika ditemui media di lokasi kejadian, siasatan akan melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).
"Esok (Sabtu) saya akan rujuk kepada Menteri Wilayah Persekutan Khalid Abdul Samad, Jabatan Perumahan Negara dan Jabatan Keselamatan... dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga ada di sini yang telah mengambil bukti awal dan sebagainya.
"Mereka akan jalankan siasatan kejadian hari ini (Jumaat), esok saya akan koordinasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan, bagaimana pada awal projek ini, adakah ia mengikut proses yang betul dan juga spesifikasinya," kata Zuraida
Tambahnya, jika sesebuah bangunan itu tidak selamat, maka tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat terutamanya pemaju pembinaan.
"Kalau kita dapat laporan, rumusan dan sebagainya, sudah tentu kita tidak akan sacrifice. Kita akan pastikan bahawa projek ini kita harus ambil tindakan dan sebagainya, (dan mengetahui) bagaimana keadaan itu boleh terjadi," jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
Sebahagian daripada struktur bangunan yang sedang dibina itu runtuh pada Jumaat dan mengakibatkan dua mangsa yang juga pekerja warganegara Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan.
Mangsa pertama berjaya dibawa keluar kira-kira jam 5.15 petang manakala mangsa kedua pada jam 9.30 malam.
Kira-kira 150 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM) dan beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi itu.
#Bangladesh #JBPM #JKKP #JPN #keselamatan #mangsa #Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan #PDRM #runtuhan #siasatan #SMART #STORM #Struktur #Taman Desa #terperangkap #zuraida