Skip to main content

Malaysia

Rusia mahu lebih ramai pelajar Malaysia, kata duta

Ambassador Extraordinary and Plenipotentiary of the Russian Federation to Malaysia
Latypov berkongsi bahawa rakyat Malaysia yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Rusia kebanyakannya mendaftar dalam bidang kemahiran tinggi seperti perubatan dan seni bina.

KUALA LUMPUR: Rusia berharap dapat meningkatkan bilangan pelajar Malaysia ke negara itu termasuk di bawah Program Biasiswa Kerajaan Rusia, kata Duta Besarnya ke Malaysia Naiyl Latypov.

Beliau berkata kuota program berkenaan untuk rakyat Malaysia telah dinaikkan daripada 20 kepada 40 orang sekali gus mencerminkan kerjasama dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan.

Advertisement

Duta itu berkata lebih 140 permohonan diterima untuk pengambilan akademik 2026/2027 selepas tarikh tutup bulan lepas dan keputusan dijangka dimuktamadkan sekitar minggu depan.

“Sekarang kami mempunyai kira-kira 700 warga Malaysia yang belajar di Rusia, ia adalah jumlah yang agak besar. Kami mahu lebih ramai pelajar," katanya semasa pertemuan dengan media pada Isnin.

Latypov berkongsi bahawa rakyat Malaysia yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di Rusia kebanyakannya mendaftar dalam bidang kemahiran tinggi seperti perubatan dan seni bina.

Menurut Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (Russian House) di Kuala Lumpur, terdapat lebih 400 universiti di 80 wilayah di Rusia menawarkan sehingga 17,000 program pendidikan di negara itu.

Selain pendidikan, Latypov berkata Rusia juga bekerjasama rapat dengan rakan kongsi Malaysia dalam pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk produk pertaniannya seperti kambing, daging lembu dan gandum.

“Kami kini bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia kami untuk meningkatkan (eksport produk halal), bukan sahaja ayam belanda. Berkat sekatan, Rusia juga telah menjadi salah satu pengeluar dan pengeksport barangan pertanian kini," katanya.

Pada Disember tahun lepas, ayam belanda Rusia yang disahkan halal memasuki pasaran tempatan, menandakan satu lagi kejayaan dalam usaha Malaysia mengukuhkan keterjaminan makanan dan ekosistem halal.

Sementara itu, mengulas mengenai hubungan Rusia dengan Selatan Global, duta itu berkata negara tersebut berpuas hati dengan hubungan kukuhnya dengan Malaysia termasuk dialog politik yang aktif dan penglibatan rapat merentasi pelbagai sektor dan peringkat.

Mengimbas kembali perkembangan tahun lepas, Latypov berkata hubungan dua hala mencapai detik terbaiknya susulan lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia.

“Kami cukup berpuas hati dengan hubungan kami (dengan Selatan Global) terutamanya dengan Malaysia. Kami mempunyai dialog politik yang sangat aktif, kami mempunyai hubungan yang sangat baik dalam bidang berbeza dan tahap berbeza.

“Beberapa menteri Rusia melawat Malaysia tahun lepas dan saya harap kami ada memeterai perjanjian dan kami akan dapat memenuhi semua perancangan kami untuk tahun ini,” katanya.

Mengenai perang yang sedang berlaku di Ukraine, Latypov berkata Rusia bersedia untuk menyambung semula dialog dengan negara Barat dan sedang mencari penyelesaian diplomatik demi keamanan di kedua-dua negara.

“Kami bersedia untuk berbincang dengan Amerika Syarikat dan bersedia untuk menyambung semula dialog kami dengan negara-negara barat, tetapi hanya apabila mereka bersedia untuk dialog seperti itu, kerana dialog ini harus saling menguntungkan dan sama rata," katanya.

Konflik antara Rusia dan Ukraine, yang bermula pada 2022, kini memasuki tahun keempat, dengan jumlah korban dan kemusnahan semakin meningkat yang menjejaskan jutaan orang awam.

-- BERNAMA

Must Watch Video