MALAYSIA
Rusia setuju terus kerjasama tingkat keupayaan Malaysia bangunkan teknologi nuklear - TPM Fadillah

Fadillah ketika mengadakan mesyuarat dua hala bersama Ketua Pengarah ROSATOM, Alexey Likhachev (kanan), bagi memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Rusia dalam pembangunan tenaga nuklear bagi tujuan aman.
MOSCOW: Rusia menyatakan kesediaan dan bersetuju untuk terus bekerjasama dalam meningkatkan keupayaan Malaysia dari segi institusi, modal insan, teknikal, komersial dan perundangan bagi pembangunan teknologi tenaga nuklear negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Ringkasan AI
- Rusia bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Malaysia dalam pembangunan teknologi tenaga nuklear, termasuk aspek institusi, teknikal, komersial, perundangan dan latihan modal insan.
- Lawatan kerja empat hari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke Rusia bertujuan memperkukuh kerjasama tenaga, termasuk perbincangan dengan Rosatom mengenai pemindahan teknologi dan pengukuhan grid tenaga.
- Kerajaan Malaysia secara prinsip bersetuju mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara, namun kajian mendalam dan libat urus awam perlu dilakukan sebelum sebarang pelaksanaan.
Selain kerjasama sedia ada dalam pengimportan arang batu, Fadillah berkata beliau dan Timbalan Perdana Menteri Rusia Alexey Overchuk turut berbincang mengenai potensi kerjasama tenaga nuklear diantara kedua-dua negara.
"Rusia mempunyai teknologi tinggi dalam bidang penghasilan tenaga melalui teknologi nuklear secara aman. Pengalaman negara ini dalam teknologi tenaga nuklear boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dalam memenuhi aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara," kata Fadillah.
Beliau turut mengadakan mesyuarat bersama Ketua Pengarah Rosatom Alexey Likhachev pada Jumaat dengan perbincangan yang menyentuh aspek teknikal dan operasi termasuk perundangan serta pemindahan teknologi dan latihan tenaga kerja.
Menurutnya mesyuarat berkenaan telah membuka ruang kepada dialog secara langsung antara wakil agensi teknikal Malaysia dan Rosatom selaku badan nuklear negara itu bagi menilai bentuk kerjasama dalam tenaga nuklear, termasuk pengukuhan dan pemodenan grid, yang seterusnya akan memberikan impak positif kepada kerjasama Grid Tenaga ASEAN.
Beliau berkata, secara prinsip, kabinet telah meluluskan untuk mempertimbangkan nuklear sebagai antara campuran tenaga yang perlu diteroka oleh Malaysia.
"Ini untuk menangani kekangan bekalan tenaga yang kita hadapi pada masa ini. Pertama, kita cuba mengurangkan penggunaan tenaga daripada arang batu dan gas tetapi bekalan menjadi cabaran.
"Selain itu, kita juga hadapi kekangan dari segi jana kuasa hidro kerana sumber air terhad. Kini, di peringkat global, ramai melihat tenaga nuklear sebagai antara pilihan yang perlu dipertimbangkan," katanya.
Fadillah berkata kerajaan perlu membuat kajian mendalam mengenai teknologi nuklear terlebih dahulu, termasuk libat urus dengan orang ramai.
"Sokongan rakyat sangat penting. Proses ini perlu dilaksanakan bersama pelbagai kementerian, agensi, dan badan bukan kerajaan untuk memberi penjelasan yang jelas. Ia hanya boleh diteruskan selepas perjanjian antarabangsa ditandatangani dan diterima oleh majoriti rakyat. Ini adalah langkah awal ke arah itu," katanya.
Fadillah menamatkan lawatan kerja beliau selama empat hari ke Rusia pada Sabtu.
Terdahulu, beliau ke Uzbekistan pada 21 Jun hingga 24 Jun.
Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke Rusia adalah kesinambungan daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia pada 13 hingga 16 Mei lepas dalam usaha beliau untuk meningkatkan dan meneroka kerjasama baharu antara Malaysia dan Rusia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami