KUALA LUMPUR: Amalan demokrasi negara disifatkan kurang sihat dan berada pada tahap membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata demikian, susulan dapatan bahawa, 39 Ahli Parlimen telah bertindak melompat parti sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Jelas beliau, tindakan lompat parti itu menyebabkan rakyat menilai kesetiaan ahli Dewan Rakyat terhadap parti yang diwakili mereka.

"Umumnya, tindakan ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan yang dipilih daripada pilihan raya.

"Sikap dan tindakan bertukar parti oleh ahli Dewan Rakyat secara tidak langsung membuatkan rakyat menilai kesetiaan wakil rakyat terhadap parti, dan pada masa sama, memberi kesan kepada amalan demokrasi negara.

"Justeru, seperti mana semua sedia maklum, usaha bagi menambah baik sistem pentadbiran negara melalui transformasi pentadbiran secara kerjasama dwi partisan kerajaan Pakatan Harapan, telah diterjemah melalui Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Khas Parlimen ketika membentang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022, di Dewan Rakyat, hari ini.

Sidang khas itu merangkumi mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini dan mesyuarat khas Dewan Negara esok.

Pembentangan dan perbahasan itu melibatkan penggubalan punca kuasa di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Membentangkan lebih lanjut, Wan Junaidi (GPS-Santubong) berkata, menjadi komitmen kerajaan untuk mengambil kira senario politik negara melibatkan ahli wakil rakyat yang bertukar parti.

Katanya, penggunaan istilah 'antilompat parti' hanya bersifat sementara, sebaliknya nama sewajarnya akan diperhalusi dalam RUU tersebut kelak.

"Istilah lain sering diguna pakai di negara luar misalnya defection, party jumping atau floor crossing yang mana boleh diterjemah sebagai pembelot parti atau bertukar kesetiaan kepada parti lain.

"Keadaan ini menimbulkan perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana melibatkan mandat ataupun kepercayaan wakil rakyat," katanya lagi.

Sejak PRU ke-14 seramai 39 orang Ahli Parlimen melompat parti - Wan Junaidi

Wan Junaidi menambah, pembentangan Perlembagaan (Pindaan) (no.3) 2022 melibatkan dua fasal, di mana Fasal 1 RUU tersebut memperuntukkan tajuk ringkas akta yang dicadangkan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh permulaan kuat kuasa akta yang dicadangkan.

"Fasal 2 RUU ini bertujuan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Subfasal 2(a) bertujuan untuk meminda Fasal (1) Perkara 10 berbangkit daripada kemasukan fasal baharu (3A) dalam subfasal 2(b).

"Subfasal 2(b) bertujuan untuk memasukkan Fasal baharu (3A) ke dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan sekatan-sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang berhubungan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan," katanya.