KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti akan di bawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri yang diadakan pada bulan depan, kata Datuk Seri Hajiji Noor.

Tegas Ketua Menteri Sabah itu, RUU tersebut diharap mendapat sokongan semua wakil rakyat termasuk pembangkang sekali gus memperolehi dua pertiga majoriti untuk digazetkan.

"InsyaAllah kita akan perkenalkan ataupun bawa ke persidangan DUN nanti tetapi ini bergantung kepada sokongan daripada pembangkang kerana kerajaan negeri perlu mendapat dua pertiga majoriti untuk membolehkan kita meminda perlembagaan negeri.

"Macam mana kita bersidang dalam pilihan raya... kita akan bersidang mungkin pada hujung bulan November selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Jasamu Dikenang, Pesara Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu pada Selasa.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi bahawa beliau belum mendapat pengumuman rasmi daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilaporkan keluar daripada GRS pada Sabtu lalu.

Malah beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan bahawa empat lagi ADUN akan keluar daripada gabungan itu.

Empat ADUN tersebut adalah, Datuk Ruddy Awah (Pitas), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan), Datuk Rubin Balang (Tenom) dan ADUN Bebas mesra GRS, iaitu Datuk Masiung Banah (Kuamut).

"Itu mana ada lompat, saya pun tidak tahu yang satu ini, lompat atau tidak, kita pun belum lagi ada pengumuman rasmi daripada beliau," jelasnya.