MALAYSIA
RUU Antilompat Parti: Pastikan tiada lagi aktiviti 'lompat-melompat' - Mahdzir

Mahdzir (dua, kiri) beramah mesra dengan anak-anak tahfiz pada Majlis Iftar Warga Felcra Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka Kuala Nerang, Naka, 9 Apr 2022. --fotoBERNAMA
KUALA NERANG: Pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti mampu memastikan tidak berlaku sebarang aktiviti 'lompat-melompat' dalam kalangan wakil rakyat yang telah menerima mandat melalui pilihan raya.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan penangguhan bagi pembentangan RUU berkenaan adalah bagi memberi peluang kepada pindaan perlembagaan yang akan dilakukan pada Isnin dan memastikan proses pembentangannya kelak berjalan lancar.
"Jadi, sebelum kita nak buat Akta Antilompat Parti, kita kena buat dahulu pindaan perlembagaan. Pindaan perlembagaan yang bakal dibentang Isnin ini, adalah pindaan yang membolehkan Akta Antilompat Parti dibentangkan.
"Kalau ikut (apa yang diperkatakan) Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), bermakna kita bentang ini (pindaan perlembagaan) dahulu, (dan kemudian) kalau Parlimen bersidang pada Julai, Insya-Allah kita boleh bentang (RUU Antilompat Parti) pada Julai."Pelaksanaan (RUU ini penting kerana) kita (mengambil) kira (bahawa) eloklah (pelaksanaan ini). Jangan duduk melompat-lompat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Iftar dan Solat Tarawih bersama Warga Felcra Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Mahdzir memaklumkan, kesemua Ahli Parlimen di blok kerajaan dan pembangkang akan menerima taklimat berkaitan pindaan perlembangan hari ini (Ahad) sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan, pembentangan dan pembahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 pada 11 dan 12 April ini, membabitkan penggubalan punca kuasa (enabling clause) bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, ialah bagi membolehkan RUU berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti, digubal di Parlimen.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami