KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) diharap tidak dipolemikkan oleh pihak tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata tindakan mempolemikkan isu itu dikhuatiri boleh menggugat keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia.

Jelasnya, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) telah meneliti  perkara itu dan memastikan proses penggubalan RUU berkenaan dibuat mengikut tertib yang betul serta bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Idris juga berkata, penggubalan RUU itu telah disalah ertikan oleh segelintir pihak.

"Polemik ini timbul selepas jawapan soalan tambahan, sesi soalan lisan di Parlimen oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary bertarikh 26 November 2020 yang lepas, yang mana telah disebarkan dan dipetik di luar konteks oleh pihak-pihak tertentu.

"Jawapan tersebut asalnya adalah penjelasan berkenaan perancangan strategik kerajaan bagi menggubal sekurang-kurangnya 11 undang-undang syariah utama, merangkumi penggubalan undang-undang baharu dan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuklah cadangan penggubalan RUU akta tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan (dalam konteks Wilayah Persekutuan) untuk melindungi kesucian agama Islam, iaitu dengan melarang penyebaran agama lain ke atas orang Islam.

Selain itu, kawalan dan sekatan penyebaran agama bukan Islam berdasarkan Perkara 11(4), yang menjadi punca kuasa RUU ini, hanya dihadkan kepada orang Islam sahaja, bukan kepada sesama penganut-penganut agama lain.

Justeru, tegas beliau, pengembangan agama kepada penganut agama selain daripada penganut agama Islam adalah dibolehkan di sisi undang-undang.

"Hak kebebasan beragama di bawah Perkara 11 juga masih dijamin walaupun RUU ini digubal dan diluluskan. RUU ini juga bukanlah suatu perkara baharu. Sebanyak 10 negeri di Malaysia telah meluluskan enakmen yang sama sejak tahun 1980-an lagi, kecuali empat buah negeri yang masih belum lagi berbuat demikian iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

"Dalam hal ini, Wilayah-wilayah Persekutuan turut diberikan kuasa yang sama untuk menggubal undang-undang berkaitan agama, yang terpakai hanya di Wilayah-wilayah Persekutuan, sama seperti negeri-negeri," ujarnya.

RUU yang dicadangkan dalam konteks ini juga akan diguna pakai di peringkat Wilayah-wilayah Persekutuan sahaja.

Bagi negeri-negeri lain yang masih belum menggubal enakmen ini, penggubalannya adalah bergantung kepada Dewan Undangan Negeri masing-masing.

"Proses penggubalan RUU ini tetap sama sahaja seperti RUU-RUU yang lain. Ia akan mengikut tertib yang sewajarnya. RUU ini tetap memerlukan kepada persetujuan dasar di peringkat Kabinet, perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong dan perlu diluluskan di peringkat Parlimen," tambahnya.