KUALA LUMPUR: Rang undang-undang berkenaan perubahan iklim dijangka akan dimuktamadkan pada hujung tahun ini dan bakal dibentangkan pada persidangan Parlimen tahun depan, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata perkara itu akan melibatkan semakan dan penambahbaikan kepada akta terbabit bagi memastikan pembangunan yang mampan untuk negara.

"Kita perlu segerakan (rang undang-undang berkenaan)...Isu perubahan iklim ini serius dan impak yang ketara ialah impak kepada bekalan makanan negara, contohnya bila berlaku kemarau baru-baru ini, bekalan air kita merosot dan beberapa kawasan pertanian kita terganggu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan ucapan di Simposium Perubahan Iklim 2022 anjuran Pejabat Ketua Pembangkang dengan kerjasama Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran karbon sukarela (VCM) menurutnya Kabinet telah meluluskan Bursa Malaysia Sdn Bhd (Bursa Malaysia) sebagai badan yang menguruskan perkara itu.

"Bagi Bursa Malaysia mereka dah bersedia sebenarnya dan telah membangunkan pelan itu tetapi kita terpaksa patuhi apa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN)," katanya.

Sebelum ini dilaporkan Bursa Malaysia akan melancarkan VCM pada akhir tahun ini yang akan membolehkan syarikat membeli kredit karbon secara sukarela daripada projek dan penyelesaian mesra alam.

-- BERNAMA