KUCHING: Rang undang-undang (RUU) bagi mewujudkan satu ordinan dana kekayaan berdaulat di Sarawak akan dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri itu pada November ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dana itu, yang bermodelkan Dana Pencen Kerajaan Global Norway, akan mula beroperasi pada 2024 selepas RUU tersebut diluluskan.

Dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak 2022, yang bermula esok, beliau berkata Sarawak kini memiliki rizab kewangan terbesar berbanding negeri lain yang harus dilaburkan semula untuk memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

"Pertambahan kepada simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya bagi memberi pulangan hasil yang memberi manfaat kepada generasi akan datang melalui sebuah dana yang dinamakan dana kekayaan berdaulat," katanya.

Abang Johari berkata masa depan Sarawak amat cerah dengan memiliki banyak sumber yang boleh digunakan untuk menjadikan negeri itu kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara manakala ramai pelabur ingin datang kerana kelebihan Bumi Kenyalang dari segi kestabilan politik dan perpaduan rakyat.

Beliau juga berkata masa depan yang terjamin ini akan turut dinikmati oleh kaum Dayak di Sarawak dengan menambah nilai tanah adat iaitu aset besar yang boleh digunakan untuk menjana pendapatan sama ada melalui perniagaan pertanian, agroperhutanan atau keusahawanan lain.

Abang Johari berkata pindaan juga sudah dibuat ke atas Kanun Tanah Negeri dan Ordinan Perhutanan untuk mempersiapkan Sarawak dalam ekonomi baharu yang turut melibatkan penjagaan alam sekitar serta perniagaan karbon berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada negeri itu.

"Saya yakin langkah-langkah yang telah diperkenal oleh Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini untuk memperkukuh ekonomi negeri ini, termasuk langkah-langkah yang terbaharu ini, akan menambahkan lagi hasil negeri Sarawak," katanya.

Dalam menyambut Gawai Dayak yang telah diinstitusikan sebagai usaha membina identiti dan titik penyatuan kaum Dayak Sarawak, Abang Johari berharap amalan keselamatan akan diteruskan bagi mengekang COVID-19 dan semasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat semasa perayaan ini.

"Saya amat berharap musim perayaan ini disambut dalam suasana yang santai yang boleh menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuh perpaduan serta iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini," katanya.

-- BERNAMA