Skip to main content

Malaysia

RUU hadkan tempoh jawatan PM, pengasingan kuasa Peguam Negara, Pendakwa Raya dibentang

TB_DewanRakyat_AzalinaOthman_Jabatan Penerangan Malaysia
Azalina memaklumkan bahawa bacaan kali kedua bagi kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, dijadual minggu depan. - Foto JAPEN

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, memaklumkan bahawa bacaan kali kedua bagi kedua-dua RUU tersebut akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, dijadual minggu depan.

Advertisement

Menurut naskhah biru, RUU itu bertujuan meminda Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan fasal baharu (2a) yang memperuntukkan bahawa seorang Perdana Menteri yang dilantik di bawah perenggan (2)(a) Perkara 43 tidak boleh pada bila-bila masa memegang jawatan itu selama tempoh yang pada agregatnya berjumlah lebih daripada 10 tahun sama ada terus-menerus atau selainnya.

RUU itu turut memasukkan fasal baharu (4a) hingga (4d) di bawah Perkara 43, dengan (4a) memperuntukkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan apabila tamat tempoh yang pada agregatnya berjumlah 10 tahun.

“Bagi Fasal (4b), jika Perdana Menteri terhenti memegang jawatan menurut Fasal (4a), anggota-anggota Jemaah Menteri hendaklah terhenti memegang jawatan,” menurut naskhah biru itu.

Sebelum ini, Azalina juga menjelaskan bahawa cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bertujuan memperkukuh kebebasan institusi, ketelusan dan keadilan sistem perundangan.

Antara cadangan utama termasuk pelantikan Pendakwa Raya oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan syor Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, serta pemberian kuasa pendakwaan. 

RUU tersebut menetapkan kedudukan Pendakwa Raya setara dengan Peguam Negara, syarat pengalaman minimum 10 tahun dalam litigasi, dan tempoh lantikan tujuh tahun.

Must Watch Video