KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Siber 2024 dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai persediaan susulan peningkatan prasarana teknologi dan digital yang akan membuka ruang lebih besar kepada ancaman siber.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata RUU berkenaan dapat membantu kerajaan memastikan kebolehlaksanaan dan kecekapan fungsi infrastruktur maklumat kritikal negara dalam menangani insiden keselamatan siber.

Jelas beliau, usaha tersebut juga dapat memastikan tahap keselamatan negara tidak dikompromi selain menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan, dengan menyediakan persekitaran kondusif yang boleh memupuk keyakinan serta menarik pelabur asing untuk melabur dalam ekonomi digital negara.

"Penggubalan RUU Keselamatan Siber 2024 memberi tumpuan kepada perlindungan keselamatan siber infrastruktur maklumat kritikal negara.

"Ini kerana apa-apa pencerobohan atau serangan ke atas infrastruktur kritikal ini boleh memberi impak besar kepada negara dan rakyat, terutama dalam aspek keselamatan, ekonomi, kesihatan dan sosial.

"Kerajaan berharap agar rang undang-undang ini akan mendapat sokongan dwipartisan daripada semua Ahli Dewan ini tanpa mengira parti dengan meletakkan keselamatan negara sebagai pertimbangan utama," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Gobind (PH-Damansara) menambah, ancaman keselamatan siber kini semakin kompleks melalui penggunaan teknologi terkini dan canggih, sekali gus menuntut kesiapsiagaan terbaik seluruh jentera kerajaan dalam menangani ancaman tersebut.

Bagi memperkukuh keselamatan siber negara, Ahli Parlimen Damansara itu menambah kerajaan telah memutuskan supaya mekanisme dan sistem pengurusan keselamatan siber negara perlu diberi anjakan paradigma atau ditransformasi.

"Melalui RUU Keselamatan Siber 2024 ini, aspek keselamatan siber bagi infrastruktur maklumat kritikal negara akan dapat dipertingkat melalui rangka kerja yang telah diwujudkan," katanya lagi.

Dalam masa sama, Gobind berkata sebanyak 7,192 insiden keselamatan siber dilaporkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 2022, berbanding 5,575 pada 2021 dan 4,194 pada tahun sebelumnya.

Trend serangan siber di negara ini juga turut  meningkat antara 2016 hingga 2022, seperti Penafian Perkhidmatan Tersebar (DDOS), Pencerobohan, Jangkitan Perisian Hasad, Penghosan Perisian Hasad dan 'Advanced Persistent Threat' (APT).