Skip to main content

Malaysia

RUU Koroner dijangka dibentang tahun depan

Kuala Lumpur , 18 Mei 2026. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyampaikan ucapan berikutan  Majlis Pelancaran Khidmat Pro Bono Komersial Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di Auditorium AIAC Bangunan Sulaiman. Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Menurut Azalina (foto), walaupun Malaysia ketika ini mempunyai prosedur sedia ada berkaitan siasatan kematian, keperluan mewujudkan Akta Koroner khusus adalah bagi memberikan lebih kejelasan dan kefahaman kepada semua pihak. -Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Koroner yang bertujuan mewujudkan sistem siasatan kematian lebih tersusun, bebas dan telus dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan pada asalnya menyasarkan penggubalan undang-undang khusus itu tahun ini, namun mengambil kira persidangan Belanjawan pada Oktober ini, RUU berkenaan lebih sesuai dibentangkan di Parlimen tahun depan.

“Kalau boleh, tahun ini. Tapi kita ada sesi Belanjawan Oktober ini. (Jadi) yang terbaik tahun depanlah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Tinjauan Pendapat Awam Mengenai Penggubalan RUU Koroner di Asian International Arbitration Centre (AIAC), di sini, pada Khamis.

Menurut Azalina, walaupun Malaysia ketika ini mempunyai prosedur sedia ada berkaitan siasatan kematian, keperluan mewujudkan Akta Koroner khusus adalah bagi memberikan lebih kejelasan dan kefahaman kepada semua pihak.

Katanya, undang-undang berkenaan juga akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas, termasuk persoalan yang perlu dijawab apabila berlaku sesuatu kematian yang menimbulkan persoalan.

“Keperluan kepada reformasi undang-undang itu juga bukan perkara baharu apabila kelemahan dalam kerangka sedia ada pernah dibangkitkan oleh beberapa pihak dan menerusi laporan terdahulu.

Katanya, undang-undang berkenaan juga akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih jelas, termasuk persoalan yang perlu dijawab apabila berlaku sesuatu kematian yang menimbulkan persoalan.

“Maknanya isu (pandangan awam terhadap pengurusan) semua kematian, kita pun tak nak (orang) awam tengok bila ada kematian itu dia mengalihkan jasad dan sebagainya, dia kena ada kefahaman.

“Jadi kita harap dengan akta ini, kita akan menetapkan SOP dan soalan-soalan yang ditanya itu akan dapat dijawab,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak mahu keluarga mangsa terpaksa mencari-cari jawapan berhubung kematian insan tersayang, terutama apabila maklumat berkaitan sesuatu perkara tidak dapat diperoleh dengan jelas.

“Kita tak nak bila ada kematian itu keluarga mencari-cari jawapan. Ada (yang) tak nak beritahulah, kadang-kadang cakap ini Akta  Rahsia  Rasmi, macam-macamlah jawab. Tak bolehlah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kewujudan Akta Koroner tidak bermakna prosedur sedia ada akan diketepikan, sebaliknya undang-undang baharu itu akan berfungsi bersama kerangka perundangan yang telah tersedia.

“Setakat ini kita memang ada 'existing procedure' (prosuder sedia ada) dalam undang-undang yang saya sebutkan, undang-undang lain.

“Tapi dengan adanya akta ini, ia akan saling melengkapi dan memberikan lebih banyak kefahaman serta kejelasan,” katanya.

Beliau berkata, RUU Koroner pada akhirnya adalah undang-undang yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya keluarga yang mahu mendapatkan jawapan mengenai sesuatu kematian.

“Rang undang-undang inilah rang undang-undang rakyat, terutama sekali keluarga yang mahukan jawapan kepada mana-mana kematian,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau berkata Malaysia sememangnya mempunyai kerangka pelaksanaan inkues seperti diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah, khususnya Seksyen 328 hingga 341A, serta Arahan Amalan Bilangan 2 Tahun 2019.

Namun, katanya, realiti semasa semakin kompleks apabila siasatan kematian kini turut membabitkan bukti digital, analisis forensik, rekod perubatan, keselamatan institusi serta penyelarasan pelbagai agensi.

Beliau berkata, tinjauan pendapat awam yang dilancarkan pada Khamis bertujuan mendapatkan pandangan rakyat dan pihak berkepentingan sebelum parameter dasar cadangan RUU itu dimuktamadkan.

Antara aspek yang akan diteliti katanya, termasuk kategori kematian yang wajib dilaporkan, bidang kuasa dan kebebasan koroner, tatacara seragam, penyelarasan antara agensi, pemeliharaan bukti, tempoh tindakan serta hak keluarga dalam proses berkenaan.

“Parameter dasar bagi cadangan Rang Undang-Undang ini masih belum dimuktamadkan dan kerana itulah kita berada di sini hari ini,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan kerajaan mahu penggubalan undang-undang berkenaan dibuat dengan mengambil kira pandangan agensi kerajaan, pengamal undang-undang, pakar akademik, pertubuhan masyarakat sivil dan rakyat.

Katanya, pandangan yang diterima akan membantu kerajaan membentuk kerangka yang bukan sahaja baik di atas kertas, tetapi adil, praktikal dan benar-benar berfungsi untuk manfaat rakyat.

Must Watch Video

Advertisement