Rakyat akan menerima Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 seadanya jika ia dilaksanakan sebaiknya dan bukan untuk disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau secara peribadi menyifatkan jika undang-undang itu dilaksanakan dan tidak mempunyai penyalahgunaan, masyarakat akan menerimanya.

"Namun jika ia dirangka untuk matlamat lain, ia akan menjadi persoalan besar bukan sahaja kepada kerajaan, tapi mengenai masa hadapan negara," tambah Tengku Razaleigh Hamzah yang senang dikenali sebagai Ku Li," katanya selepas merasmikan Forum Islam in Constitutional Democracy di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaysia di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa rang undang-undang ini mungkin menghadkan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan dan memberi kuasa baru berkenaan kepada Perdana Menteri, pemimpin veteran Umno itu mempunyai pandangan yang berbeza.

Beliau berkata, bidang kuasa Perdana Menteri dalam rang undang-undang berkenaan hanyalah satu suatu perkara yang mempercepatkan proses.

"Saya tidak melihat dengan cara itu, ia mengenai kesesuaian. Lagipun, Agong mesti menerima nasihat Jemaah Menteri. Dalam hal ini, apabila rang undang-undang yang ditulis dengan cara itu, ia menunjukkan bahawa Kabinet sedang memikirkan untuk mempercepatkan proses.

"Tambahan lagi, perdana menteri juga perlu berjumpa dengan Agong secara mingguan, memandangkan ia merupakan sebahagian daripada amalan dan tradisi," tambahnya lagi.

Ku Li berkata, beliau tidak menafikan kebimbangan masyarakat dan kumpulan pembangkang mengenai rang undang-undang namun beliau berharap ia tidak dimansuhkan seperti yang berlaku kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).


Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga pada Khamis.

Perbahasan rang undang-undang itu bermula sekitar jam 4.30 pada 3 Disember sebelum ia diluluskan sekitar jam 10.52 malam.

Undian belah bahagi yang dijalankan sebelum itu menyaksikan 107 Ahli Parlimen bersetuju dan 74 lagi menolak.

Ketika sesi penggulungan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi jaminan bahawa rang undang-undang ini akan mengukuhkan mekanisme keselamatan negara.

Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 antara lain memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.