KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Penyewaan Kediaman bagi mengimbangi hak dan perlindungan penyewa serta pemilik rumah.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata perundangan itu bertujuan mewujudkan persekitaran pasaran sewaan yang lebih adil dan menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian lebih cepat, mudah dan berkos rendah.
"(RUU) Ini bertujuan untuk mewujudkan hubungan lebih seimbang antara penyewa dan pemilik rumah melalui penyediaan hak dan tanggungjawab yang lebih jelas kepada kedua-dua pihak," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Wong You Fong berkenaan insentif dan langkah mendepani cabaran peningkatan kadar sewa serta kemiskinan bandar yang menghimpit golongan muda.
Aiman Athirah berkata kerajaan tidak berhasrat melaksanakan kawalan harga sewa secara menyeluruh memandangkan kadar pasaran dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi dan keadaan setempat.
Beliau berkata kerajaan sebaliknya memilih pendekatan lebih menyeluruh dengan menambah rumah sewa mampu milik, memperkukuh perlindungan penyewa dan memperluas akses pemilikan rumah bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran sewaan dalam jangka panjang.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata bagi membantu rakyat beralih daripada menyewa kepada pemilikan rumah sendiri, kerajaan turut memperluaskan akses pembiayaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dengan peruntukan siling jaminan ditingkatkan kepada RM40 bilion.
Beliau berkata langkah itu merangkumi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 kepada pembeli rumah pertama termasuk golongan pekerja ekonomi gig yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Katanya sehingga 30 April lepas, sejumlah RM27.4 bilion jaminan pembiayaan diluluskan melibatkan 113,222 permohonan, dengan 51 peratus daripada penerima terdiri daripada mereka berusia 30 tahun ke bawah.
Dalam perkembangan lain, Aiman Athirah berkata KPKT melalui PLANMalaysia sedang memuktamadkan draf Garis Panduan Perancangan Fizikal Warga Emas untuk dikemukakan ke mesyuarat Jemaah Menteri.
"Garis panduan ini disediakan sebagai rujukan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan perancangan dan pembangunan fizikal negara mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat," katanya.
Aiman Athirah berkata draf berkenaan mencadangkan nisbah penyediaan pusat penjagaan warga emas pada kadar satu pusat bagi setiap 1,000 hingga 1,500 warga emas atau sekurang-kurangnya satu pusat bagi setiap unit kejiranan berpopulasi 5,000 hingga 10,000 orang.
Katanya ia turut menggariskan piawaian ruang minimum iaitu tiga meter persegi bagi setiap warga emas serta sembilan meter persegi bagi setiap bilik di pusat penjagaan untuk memastikan persekitaran yang selasa dan kondusif.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator R. Thiagarajah mengenai dasar dan garis panduan sedia ada berkaitan penyediaan kemudahan atau ruang khas untuk warga emas dalam projek pembangunan perumahan baharu.
-- BERNAMA