KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2022) 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahmad berkata ia akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan kali ini.

Mengikut naskhah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, RUU Perbekalan Tambahan (2022) 2023 melibatkan pengeluaran sejumlah wang yang tidak melebihi RM60,174,928,000 daripada Kumpulan Wang Disatukan bagi perbelanjaan tambahan untuk perkhidmatan dan maksud yang dinyatakan dalam Jadual bagi tahun 2022 yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan sepenuhnya oleh Akta Perbekalan 2022 (Akta A1638).

Perbelanjaan tambahan tersebut akan melibatkan 10 perkhidmatan, dimana Perkhidmatan Am Perbendaharaan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM52,776,595,400, diikuti Peruntukan kepada Kumpulan Wang Terkanun (RM2,241,548,100) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (RM2,058,146,000).

Selain itu, Perbendaharaan menerima peruntukan sebanyak RM1,191,328,300, Kementerian Pendidikan (RM803,613,600), Kementerian Kesihatan (RM676,518,300), Kementerian Pertahanan (RM303,726,600), Suruhanjaya Pilihan Raya (RM84,822,600), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (RM24,531,500) dan Kementerian Perpaduan Negara (RM14,097,600).

-- BERNAMA