MALAYSIA
RUU Perolehan: Kuasa menteri terlalu besar, risiko ‘halal’ proses tidak telus

RUU Perolehan 2025 diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu, bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan memperkukuh tadbir urus melalui Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan dianggap langkah positif, namun draf semasa dikhuatiri masih membuka ruang penyalahgunaan kuasa dan berpotensi mengulangi skandal besar.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata peruntukan dalam RUU berkenaan menyerahkan kuasa terlalu luas kepada kementerian, Menteri Kewangan serta Menteri Besar atau Ketua Menteri.
"RUU tidak mencerminkan inspirasi ketelusan dan integriti, kuasa diberi terlalu besar kepada menteri untuk memutuskan tender serta melantik individu dalam lembaga perolehan. Ini membuka potensi besar untuk disalahgunakan," katanya dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.
Beliau menegaskan, ketiadaan had dan mekanisme kawal selia jelas boleh menjejaskan fungsi semak dan imbang."Kuasa terlalu besar tanpa kawalan, tak mustahil skandal seperti LCS boleh berulang. Undang-undang ini seolah-olah menghalalkan proses yang tidak sepatutnya, memberi kuasa luar biasa kepada seorang menteri dalam urusan perolehan," katanya lagi.
Sementara itu, Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Alissa Marianne Rode, menyifatkan RUU itu sebagai langkah ke hadapan namun, masih terdapat kelompongan yang ketara.
"Ada sedikit penambahbaikan prosedur tetapi malangnya terdapat beberapa (kekurangan) besar, termasuk kuasa mutlak Menteri Kewangan dan Menteri Besar untuk memberi pengecualian. Ini mengekalkan loophole yang boleh menyebabkan skandal berulang," katanya.
Tambah mereka, undang-undang yang pincang hanya akan melemahkan keyakinan rakyat, justeru setiap ringgit perbelanjaan negara perlu benar-benar digunakan untuk kepentingan rakyat, bukannya sebagai alat politik.
"Kita perlu pastikan setiap ringgit dibelanjakan untuk keselamatan, pendidikan dan kesihatan rakyat, bukan untuk politik atau pembiayaan parti.
"RUU ini mesti komprehensif, telus, berintegriti dan berakauntabiliti," kata Pushpan.
"Rakyat memang menunggu-nunggu, ingin melihat reformasi ini secara intipati, mendalam. Undang-undang yang hanya dari kerangkanya nampak seperti akta yang baik tetapi ada kelompongan sebegini, tidak membina keyakinan yang mendalam," jelas Alissa pula.
RUU Perolehan 2025 diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu, bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami