Skip to main content

Malaysia

RUU pindaan had tempoh PM akan dibentang semula Jun ini - Fahmi

PUTRAJAYA, 27 Feb -- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bercakap pada Sidang Media Mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA
Fahmi berkata, keputusan itu dibuat selepas RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga majoriti pada sidang Parlimen Isnin lalu. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun akan dibentangkan semula pada sidang Parlimen Jun depan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas RUU berkenaan gagal memperoleh sokongan dua pertiga majoriti pada sidang Parlimen Isnin lalu.

Advertisement

“Seperti yang sedia maklum, pihak kerajaan mendapat 146 undi dan yang diperlukan adalah 148,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, Jemaah Menteri turut diberi taklimat oleh Ketua Whip merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, mengenai status lapan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi.

“Seperti yang diketahui, kehadiran Ahli Parlimen Pakatan Harapan adalah 100 peratus. Lapan Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir telah dikenal pasti, dan Jemaah Menteri membuat keputusan untuk membawa semula RUU ini pada sidang akan datang sekitar bulan Jun.

"Kita berharap dan akan berusaha memastikan semua Ahli Parlimen kerajaan hadir dan mengundi bagi meluluskan pindaan Perlembagaan yang sangat penting ini,” katanya.

Mengulas sama ada tindakan akan diambil terhadap Ahli Parlimen terbabit, Fahmi berkata perkara itu terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan.

“Setakat ini, kita telah memaklumkan kepada Ketua Majlis. Daripada lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir, dua telah mengemukakan surat untuk memberi penerangan. Kita masih menunggu enam lagi,” jelasnya.

Must Watch Video