Skip to main content

Malaysia

RUU pisah peranan Peguam Negara, Pendakwa Raya disasar dimuktamad sebelum sesi Parlimen berakhir - Azalina

PUTRAJAYA, 26 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Presint 3 hari ini_BERNAMA
Azalina (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Presint 3 hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan untuk memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya sebelum sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini berakhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau telah mengemukakan RUU berkenaan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, dan pindaan terhadapnya akan dibincangkan lebih lanjut minggu depan. 

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Fadillah Yusof telah bertemu Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan responsnya sangat positif.

“Saya harap kita dapat membuat kepastian, dan saya harap sebelum sesi Parlimen ini tamat, kita akan dapat menjalankan pindaan dan sebagainya. Harapan saya sebelum sesi ini habis insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, di sini hari ini.

Sementara itu, Azalina berkata semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang memberikan sokongan terhadap pindaan Perlembagaan ini kerana ia melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dianggotai kedua-dua pihak.

“Saya percaya pindaan perlembagaan ini akan dapat sokongan kebanyakan ahli Parlimen, kerajaan dan juga pembangkang sebab jawatankuasa JPKP itu mengambil kira suara daripada semua parti politik,” katanya.

RUU itu dijadual dibentangkan semula untuk bacaan kali kedua pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini, selepas mengambil kira laporan serta syor komprehensif daripada jawatankuasa rentas parti berkenaan.

Semalam, Azalina berkata Parlimen bakal memainkan peranan penting dalam struktur semak dan imbang proses pelantikan Pendakwa Raya menerusi JPKP.

Pembaharuan itu mencerminkan komitmen jitu Kerajaan MADANI dalam melaksanakan agenda reformasi institusi perundangan negara.

Penganjuran Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi dilaksana bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai dasar berkenaan, selain mengurangkan stigma masyarakat terhadap individu yang pernah diisytiharkan bankrap.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement