MALAYSIA
RUU Tribunal Antibuli dijangka dibentang di Parlimen Oktober ini - Azalina

Azalina (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Norazmi Mohd Narawi (kiri) menyempurnakan gimik perasmian ACLAC 2025 di Desaru Coast Conference Centre, Kota Tinggi, 7 Sept 2025. -- fotoBERNAMA
KOTA TINGGI: Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen Oktober ini, lebih awal daripada tempoh enam bulan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ringkasan AI
- RUU Tribunal Antibuli dijangka dibentangkan di Parlimen Oktober ini selepas sesi libat urus dan jelajah dengan pelbagai pihak selesai hujung September.
- Tribunal ini bertujuan mempercepat pendengaran kes berbanding mahkamah, dengan kuasa lebih luas termasuk denda, kursus, atau hukuman alternatif selain penjara.
- Pendekatan tribunal menekankan keadilan restoratif, memberi ruang rehabilitasi kepada mangsa dan pelaku, serta pandangan masyarakat turut dikumpul melalui portal khas dan sesi libat urus.
"Kita harap dapat keputusan Kabinet pada hujung September atau awal Oktober supaya rang undang-undang ini boleh dibawa ke persidangan Parlimen pada Oktober ini," katanya pada sidang media Konvensyen Bantuan Guaman Kanak-Kanak Peringkat ASEAN (ACLAC) 2025 di Pusat Persidangan Desaru Coast, di sini semalam.
Azalina berkata melalui sesi jelajah itu, kerajaan mahu mendengar pandangan orang ramai mengenai cadangan penubuhan tribunal berkenaan kerana langkah itu dilihat mampu mempercepat pendengaran kes berbanding proses mahkamah yang mengambil masa panjang.
"Tribunal ini lebih luas kuasanya ... boleh lihat semua inti pati dan ada juga mungkin dalam elemen tribunal itu boleh tengok kepada aspek ganti rugi seperti membayar denda.
"Kemungkinan, kita nak ukur dalam aspek hukuman itu tidak semestinya penjara, mungkin kena bayar denda, mungkin kena pergi kursus ... jadi, aspek lebih luas dan kepentingan tribunal kalau disetujui kerajaan ialah (prosesnya) cepat," katanya.
Menurut Azalina, sebuah portal khas turut akan dilancarkan bagi mendapatkan pandangan masyarakat, selain sesi libat urus bersama dengan badan profesional termasuk Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Majlis Peguam (Malaysian Bar), bar negeri, pertubuhan antarabangsa serta pakar berkaitan.
Beliau menegaskan bahawa tribunal itu bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya turut memberikan ruang kepada proses rehabilitasi kepada mangsa dan pelaku melalui pendekatan keadilan restoratif.
"Kalau kita ada sistem tribunal yang cepat, orang nak melakukan (perkara) itu dia kena fikir banyak kali sebab dia tahu cepat. Itulah sebab kes gangguan seksual, saya tengok kesannya menerusi tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual itu respons sangat positif sebab (prosesnya) cepat," katanya.
Azalina diberi tempoh enam bulan oleh Ahmad Zahid untuk membentangkan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri berhubung penggubalan RUU Tribunal Antibuli, selepas menjalankan sesi libat urus bersama dengan semua pihak berkepentingan di seluruh negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami