KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru pihak terlibat dalam tinjauan awam Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas agar memberikan maklum balas bernas dan membina bagi membantu kerajaan menambah baik cadangan RUU berkenaan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerjasama semua pihak dapat memastikan RUU itu memenuhi keperluan warga emas secara menyeluruh dan mengambil kira pandangan pelbagai pemegang taruh.
“Jangan hanya menentang tanpa memberi maklum balas apa yang mereka mahu. Itu yang kita hendak dengar daripada mereka supaya kita boleh menilai sama ada cadangan itu berpatutan atau tidak.
“Tidak ada garis masa bila tinjauan awam itu akan ditutup, cuma yang penting negeri-negeri perlu bersetuju dan kalau mereka rasa masih ada kekurangan, kita alu-alukan sebarang maklum balas. Kita nak dengar daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program ISM@Komuniti: Menua Sihat, Komuniti Sejahtera di Dewan Masyarakat Kampung Telaga Air, hari ini.
Nancy berkata tinjauan awam dan sesi libat urus yang dijalankan ketika ini melibatkan semua negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi swasta yang menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas.
Katanya rang undang-undang berkenaan bertujuan memperkukuh perlindungan, kebajikan dan hak golongan warga emas selaras dengan peningkatan jumlah penduduk menua di negara ini, selain memastikan aspek penjagaan mereka diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak.
Beliau berkata draf RUU itu akan dikemukakan kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian lanjut, dengan sasaran dibentangkan di sesi persidangan Dewan Rakyat antara September hingga Disember tahun ini.
-- BERNAMA