KUCHING: Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 bukan hanya menjadi platform buat ‘otai’ mempersembahkan karya mereka, malah membuka peluang untuk mencungkil bakat baharu, terutama yang berpotensi besar untuk diketengahkan.

Salah seorang daripadanya, Nikita Sarna, gadis kecil berusia 11 tahun yang merupakan peserta termuda  tampil membuat persembahan di hadapan ribuan penonton tempatan dan antarabangsa dalam edisi RWMF kali ke-25 ini.

Berdarah kacukan Punjabi-Kayan, Nikita yang lebih dikenali Niki mula bermain sape sejak berusia 8 tahun lagi.

Katanya, dia mula jatuh cinta dengan alunan sape selepas terpegun dengan muzik yang dipersembahkan oleh kumpulan Sada Borneo dalam rancangan realiti, Asia’s Got Talent. 

“Saya akan terus bermain sape. Saya suka bermain sape sejak berusia 7 tahun lagi. Saya masih suka bermain alat muzik ini meskipun sudah lima tahun.

"Mungkin satu hari nanti saya akan adakan kelas sape saya sendiri seperti guru saya Hallan Hashim,” kongsinya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI pada Jumaat.

Menurut ibunya, Beatrice Aren Ajang, Nikita sering meluangkan masa untuk mendengar alunan muzik sape melalui Youtube.

Minatnya itu kemudian dikembangkan dengan bantuan ahli keluarga dan guru sape, Hallan Hashim.

“Nikita memang sangat berani dari kecil lagi dia yakin dan mempunyai semangat bersaing. Jadi dalam apa yang dia lakukan, dia akan buat yang terbaik kerana dia hendak berada di tempat pertama, dia hendak menang.

"Saya pernah suruh dia memakai baju Punjabi dan bermain sape, mungkin itu satu perkara yang berbeza dan boleh dijual di masa akan datang. Mungkin juga dia boleh buat muzik fusion dengan lagu-lagu Punjabi,” kongsi ibunya pada Jumaat.

Bakat serta usahanya tidak sia-sia malah membuahkan hasil apabila mendapat tempat dalam beberapa pertandingan peringkat daerah.

Nikita turut memasang impian untuk memperkembangkan bakatnya dengan mengikuti jejak langkah gurunya menyertai Asia’s Got Talent di masa akan datang dan mencipta nama sama seperti pemain sape popular, Alena Murang dan Jerry Kamit.

Nikita turut akan beraksi pada malam kemuncak pada 19 Jun 2022 bersama artis antarabangsa yang lain seperti Alena Murang, Tima Vaananen (Finland), Flame of the Forest (Singapura), Stephen Seifert (Amerika Syarikat) dan Yayi Cai dari China.