S&P Global Ratings hari ini mengesahkan penarafan ke atas tujuh institusi kewangan Malaysia dengan prestasi stabil.

Pengesahan penarafan A-/Stabil/A-2 adalah untuk Malayan Banking Bhd, Public Bank Bhd, CIMB Bank Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd, dengan BBB+/Stabil/A-2 untuk RHB Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd dan AmBank (M) Bhd.

"Kami mengesahkan penarafan itu kerana kami percaya bank Malaysia berada pada kedudukan kukuh dan mempunyai penampan mencukupi terhadap risiko menurun dalam senario kes asas kami.

"Pada pandangan kami, walaupun kualiti aset bank terlibat mungkin akan merosot sedikit dan pertumbuhan pendapatan mereka terus berkurangan, kemerosotan itu masih boleh diuruskan," kata agensi penarafan itu dalam satu kenyataan.

S&P berkata, penarafannya itu menggabungkan pusingan kitaran kredit normal, pinjaman tidak berbayar daripada asas yang rendah serta rizab pinjaman-kerugian yang kukuh.

Andaian kes asasnya mengandungi pemulihan kecil dalam pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.3 peratus pada 2016 dan 4.5 peratus pada 2017, dan dasar monetari yang akomodatif serta keadaan pengangguran rendah, yang akan terus menyokong pembayaran balik hutang sektor swasta.

S&P berkata, keuntungan bank terbabit telah terjejas pada dua bidang.

Satu daripadanya, peningkatan kos kredit disebabkan kualiti aset yang lebih lemah, akan memberi tekanan ke atas keuntungan, terutama ke atas bank dengan pendedahan kepada pasaran sedang muncul seperti Indonesia, katanya.

S&P berkata, pengenalan keperluan kecairan yang lebih ketat di bawah Basel III juga telah mencetuskan gelombang kempen deposit, yang membawa kepada kos pembiayaan lebih tinggi.

Agensi penarafan itu berkata, bank Malaysia telah mengamalkan strategi bertahan terhadap pelbagai cabaran tersebut.

"Kami menjangka pertumbuhan pinjaman untuk industri itu akan menurun kepada hanya 3.0-5.0 peratus pada 2016 berbanding 8.1 peratus pada 2015, yang akan mengimbangi tekanan modal ke bawah daripada perolehan tertangguh yang lebih rendah," katanya.

"Pada pandangan kami, bank Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos dan pemuliharaan kualiti aset pada 2017 bagi menangani kemerosotan kitaran ini," katanya. - Bernama