KOTA KINABALU: Aktiviti pengebumian dan penghormatan terakhir di rumah ibadat bukan Islam serta rumah urus mayat di Sabah semasa Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata waktu operasi dibenarkan ialah dari 6 pagi hingga 8 malam dan tempoh upacara tidak melebihi dua jam bagi setiap sesi.

"Namun kebenaran aktiviti berkenaan hanya kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.

"Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, individu atau keluarga yang belum divaksin dilarang sama sekali memasuki rumah ibadat kecuali kanak-kanak berusia 12 ke bawah yang mana ibu bapa telah lengkap divaksin," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata jumlah kes harian di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan 41 daripada 364 kes berbanding 405 kes yang dicatatkan semalam.

"Peratusan kes baharu yang diperoleh melalui saringan bergejala kekal tinggi pada tahap 38.2 peratus daripada jumlah kes keseluruhan dan kes kategori ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kealpaan mematuhi SOP khususnya semasa berkumpul atau berada di khalayak ramai.

"Ini terbukti melalui dapatan daripada punca kluster baharu yang muncul sekali sekala. Adalah diharapkan agar seluruh masyarakat mengambil berat keperluan mematuhi semua SOP tatkala Sabah melangkah ke Fasa Empat PPN," katanya.

-- BERNAMA