KUALA LUMPUR: Sabah terus mencatatkan peningkatan kes positif COVID-19 harian apabila merekodkan 1,383 kes.

Ini menjadikan Sabah negeri empat tertinggi dalam negara selepas Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kontak rapat penyumbang utama kepada kes harian di Sabah iaitu 749 kes atau 54.2 peratus. Diikuti saringan bergejala 322 kes atau 23.3 peratus, kes-kes kluster sedia ada 111 kes dan saringan bersasar 73 kes.

"*Daripada 1,383 kes hari ini, 1,064 adalah dalam kategori 1 dan 2;  kategori 3 (19 kes), kategori 4 (12 kes) serta enam orang dalam kategori 5. Manakala 282 kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Melihat kepada peningkatan kes sejak 10 hari lalu, Masidi berkata, rakyat boleh memainkan peranan penting untuk mengawal merebaknya jangkitan COVID-19 dengan mengamalkan disiplin dan penjagaan kesihatan diri yang tinggi.

"Kes yang tinggi melibatkan kontak rapat adalah satu petunjuk bahawa ada di antara kita yang masih lalai dalam pematuhan SOP. Sehubungan itu, ingin saya mengingatkan supaya kita mengurangkan aktiviti-altiviti sosial bersama rakan-rakan agar kita tidak terdedah kepada risiko jangkitan," katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, JKNS dan agensi berkaitan sedang berusaha memberi vaksin kepada rakyat dengan kadar yang segera.

Sehingga semalam, sebanyak lebih 1.12 dos pertama atau 40.8 pertaus sudah diberikan kepada penduduk dewasa di Sabah manakala mereka yang lengkap dua dos masih rendah iaitu 485,880 atau 17.6 peratus.

"Kerajaan negeri akan berusaha untuk menambah kapasiti suntikan dan memastikan bekalan vaksin sentiasa mencukupi. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kpd penduduk pada satu tahap peratusan yg signifikan," ujarnya.

Selain itu, Kota Kinabalu terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 326 kes iaitu 24 peratus daripada keseluruhan jumlah kes di Sabah hari ini.

Ia diikuti Tawau dengan 168 kes, Sandakan (138); Tuaran (92); Penampang (79) dan Kota Belud 66 kes.

"Untuk hari ini, beberapa daerah menampak kenaikan kes ketara iaitu Sandakan 86 kes; Keningau 36 kes; Kota Belud 18 kes; Kinabatangan 21 kes; Kota Marudu 37 kes; Beluran 23 kes dan Tenom 17 kes," katanya dalam kenyataan pada Selasa.