KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan sejumlah 190 jangkitan baharu COVID-19 pada Ahad berbanding 265 kes hari sebelumnya, yang menyaksikan penurunan ketara kes harian, tanpa sebarang kluster baharu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata angka itu menjadikan jumlah kumulatif wabak tersebut di Sabah sebanyak 62,037 kes dengan dua kematian dilaporkan di Lahad Datu.

Masidi berkata daripada jumlah kes baharu itu, 101 adalah hasil saringan kontak rapat diikuti saringan kluster (44 kes), saringan bergejala (31) enam kes saringan bersasar dan kes-kes lain (lapan).

"Sebanyak 10 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes dengan tujuh daerah daripadanya pada julat satu angka manakala tiga daerah lain menunjukkan penurunan ketara pada julat dua angka iaitu Tawau turun 43 kes; Kalabakan (38) dan Kota Kinabalu (26 kes).

"Terdapat lapan daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini iaitu enam daerah pada julat satu angka manakala dua daerah lain pada julat dua angka iaitu Kunak bertambah 14 dan Papar (13)," menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Masidi berkata terdapat 10 daerah yang tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID-19 hari ini iaitu Ranau, Beluran, Telupid, Pitas, Sipitang, Keningau, Tongod, Tenom, Nabawan dan Tambunan.

Beliau berkata meskipun berlaku trend penurunan kes di Sabah sejak semalam, perubahan angka bagi daerah yang berada di zon kuning, jingga dan merah adalah tidak statik.

Justeru, katanya keberkesanan penurunan kes dalam membendung penularan COVID-19 bergantung kepada kesungguhan komuniti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kendiri dan SOP yang ditetapkan kerajaan negeri.

Mengulas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri, Masidi berkata bagi fasa satu, seramai 57,626 individu di Sabah telah menerima suntikan dos pertama manakala 52,667 orang telah melengkapkan kedua-dua dos.

"Bagi fasa dua pula, seramai 72,797 orang telah menerima suntikan dos pertama manakala 26,505 individu telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin berkenaan setakat ini," katanya.

Beliau juga berkata seramai 548,343 orang telah mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Sabah setakat ini iaitu 18.7 peratus daripada populasi negeri itu.

-- BERNAMA