KOTA KINABALU:Sebanyak 19,587 bakul makanan telah disalurkan oleh kerajaan negeri Sabah kepada kumpulan sasar di negeri itu setakat ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, pengagihan berkenaan melibatkan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersyarat (PKPDB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat persekutuan turut menyalurkan bantuan 6,300 bakul makanan setakat ini.

"Untuk setakat hari ini, bantuan bakul makanan berjumlah 19,587 telah diagihkan kepada kumpulan sasar.

"Di samping itu terdapat bantuan kerajaan persekutuan, NADMA berjumlah 6,300 telah digaihkan dan jumlah akan bertambah ikut kesesuaian," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Mengulas lanjut, Shahelmey berkata pihak kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Am Negeri Sabah akan terus memantau proses agihan bakul makanan kepada kumpulan sasaran.

"Memandangkan buat masa ini, semua daerah telah dikenakan PKPB, maka agihan bakul makanan akan dibuat di semua tempat, namun kita mendahulukan kriteria keluarga yang kena kuarantin terlebih dahulu," katanya.

Tambah beliau lagi, setakat ini, pihaknya menerima maklumat, terdapat ramai wakil rakyat di seluruh Sabah telah mengambil inisiatif sendiri untuk menyampaikan bantuan kepada kumpulan sasar terutamanya mereka yang terkesan pendapatan akibat pandemik ini di kawasan masing-masing.

"Dalam masa yang sama dari kerajaan negeri, melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah mahu mengutamakan keselamatan petugas barisan hadapan (frontliners) kerana mereka ini juga rakyat jelata.

"Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Am Sabah akan sentiasa memperkemaskan bantuan ini dari semasa ke semasa.

"Kita dalam masa yang sama menasihatkan agar rakyat Sabah semua yang berada di 11 zon merah untuk meminimakan pergerakan, bagi memutuskan rangkaian COVID-19.

"Sama-samalah menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi SOP dan kawalan pergerakan dalam membenteras pandemik ini," katanya lagi.