KOTA KINABALU: Sabah meletakkan harapan agar siri rundingan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963(MKMA63) dapat diteruskan dan disambung dengan kadar segera.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat menghargai komitmen meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman (MoU) di peringkat persekutuan.

Menurutnya, berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, Sabah berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

“Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat menyambung semula rundingan di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak melalui platform MKMA63 yang dibentuk oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Di peringkat negeri, sejak dari awal pemimpin GRS sepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan.Komitmen kita adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2021 peringkat kebangsaan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mewakil Ketua Menteri Sarawak ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Tambah Hajiji, selaras dengan penubuhan Malaysia yang ke-58, beliau mahu melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam usaha membawa Malaysia melangkah ke hadapan.

“Saya ingin mengajak seluruh rakyat di Sabah untuk terus bersatu atas semangat ‘Keluarga Malaysia’. Saya penuh yakin bahawa di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Sabah akan menikmati lebih banyak pembangunan untuk rakyat di semua peringkat,” kataya.

Selain itu, kata beliau, Sabah menyokong dan menghargai sepenuhnya inisiatif murni serta kesepakatan melalui MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai baru-baru ini.

Tambahnya, ini antara komitmen dan peranan di pihak komuniti politik yang telah lama dinanti-nantikan di kala negara berhadapan dengan musibah COVID-19.