Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew Chin Jin menafikan ura-ura yang mengatakan dirinya akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Parlimen Tawau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu berkata, beliau sedar Warisan merupakan parti tempatan yang kuat, tetapi beliau juga akan pastikan PKR Sabah terus beri kerjasama utuh kepada Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Katanya lagi, mereka yakin kerjasama itu akan memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari.

“(Khabar angin ini) tak betul. Hanya satu yang betul, iaitu saya tetap kerjasama dengan Ketua Menteri dan Warisan seperti dahulu,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan daging korban kepada penduduk dan sumbangan tikar sembahyang kepada Masjid Sirotul Mustaqim Kampung Air Batu 4 Setengah, Jalan Apas, di sini.

Christina juga meluangkan masa untuk melawat lebih 20 buah masjid bagi menyampaikan sumbangan sejadah, selain menyumbangkan empat ekor lembu untuk dikorbankan sempena Aidiladha di kawasan Parlimen P190 Tawau.

Foto Astro AWANI

Ditanya keyakinan beliau untuk mempertahankan kemenangan kerajaan Sabah, beliau berkata, ia merupakan mandat rakyat untuk memilih pemimpin yang mereka percayakan untuk memimpin negeri ini.

BACA: DUN Sabah dibubarkan

Dalam pada itu, Christina berkata, PKR Sabah akan mengadakan mesyuarat bersama DAP Sabah berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya.

Ujarnya lagi, beliau telah pun menghubungi DAP sertai parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan mesyuarat bersama selepas perayaan Aidiladha