Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan kepada rakyat Sabah supaya 'memilih' pihak yang sehaluan dengan pendirian Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau menyifatkan, elemen pembangunan, ekonomi dan sosio tidak boleh digembeleng sebelah pihak sahaja dengan ia memerlukan sokongan antara pimpinan persekutuan serta negeri.

Jelas Muhyiddin, meskipun beliau mempunyai hubungan rapat dengan beberapa tokoh politik yang tidak sehaluan perjuangan Perikatan Nasional (PN) seperti Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tetapi dalam menjayakan misi itu, perkara berkenaan tetap diperjuangkan.

"Dalam soal mentabdir negara, sebaik mungkin kerajaan persekutuan dan negeri mesti sama, sehati dan sejiwa.

"Kerajaan Sabah ada sumber, negeri kaya raya ada khazanah yang dibangunkan, negeri yang besar, "katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin Masyarakat Sabah, di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Jelas Muhyiddin lagi, adalah penting untuk rakyat Sabah sedar bahawa gandingan di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi terus membangunkan negeri ini.

"Saya sedar Sabah sejak dahulu, banyak lagi usaha yang harus dilakukan, kalau diserahkan kepada kerajaan Sabah tidak mungkin boleh selesai, kalau diserahkan kepada kerajaan persekutuan pun tidak mungkin boleh selesai.

"Tapi jika diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri yang sama-sama Perikatan Nasional mungkin masalah akan selesai, itu logiknya," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin menjelaskan, Sabah tidak akan ditinggalkan oleh Kerajaan pemerintah kini, PN dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara terutamanya ketika berhadapan cabaran ekonomi disebabkan pandemik Covid-19.