Sabah telah mengemukakan permintaan kepada kerajaan Persekutuan untuk diberikan kuasa autonomi bidang pendidikan dalam usaha memastikan pelaksanaan dan pembangunan bidang itu diuruskan lebih cekap di negeri ini, kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Yusof Yacob.

Beliau berkata perkara itu ada dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Maszlee Malik dan permintaan itu disambut positif.

"Sabah perlu autonomi membuat keputusan sendiri (dalam bidang pendidikan), bukan untuk konfrontasi dengan pusat, tetapi supaya soal hak-hak Sabah boleh diurus dan ditunaikan dengan baik.

"Kami perlu kebanyakan keputusan itu dibuat di Sabah, dasar kita masih ikut seperti yang diputuskan Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga 2035," katanya kepada pemberita selepas melawat Pejabat Pendidikan Daerah Tawau di sini, hari ini.

Berhubung lawatannya ke sebuah sekolah daif di Long Pasia, Sipitang, Yusof berkata bangunan baharu untuk sekolah itu telah dibina di bawah program teknologi sistem binaan berindustri (IBS) tetapi tidak menepati ciri kemudahan ditetapkan untuk sebuah sekolah.

"Ada bangunan asrama dibina tetapi tidak ada tandas serta bilik mandi, selain ada bangunan darjah dibina tetapi tiada bilik guru dan pentadbiran di sekolah itu.

"Ini antara sebab saya mahu kuasa autonomi untuk Sabah, kerana pegawai di sini lebih tahu dan meneliti sesuatu projek sehingga selesai, apabila sudah merancang, kita sendiri memutuskan di Sabah," katanya.

Sementara itu, Yusof berkata kerajaan memperuntukan RM500 juta pada tahun ini untuk menaik taraf 120 sekolah daif di negeri ini menerusi kaedah IBS.

"Kita ada 700 sekolah daif di Sabah dan sekolah ini harap dapat dinaik taraf dalam tempoh lima tahun," katanya.

-- BERNAMA