KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM6 juta kepada Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) negeri bagi membantu golongan muda yang hilang sumber pendapatan susulan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata bantuan di bawah pakej rangsangan ekonomi itu merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam belanjawan tahun ini untuk menangani cabaran yang belum pernah terjadi akibat pandemik berkenaan.

"Pandemik ini bukan sahaja menyebabkan kesukaran dalam ekonomi tetapi juga masalah sosial, kesihatan dan pelbagai masalah lain terutama yang mempengaruhi pembangunan belia dan modal insan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM22.96 juta dalam belanjawan tahun ini bagi melaksanakan kursus dan latihan kemahiran teknologi, teknikal serta perdagangan dalam usaha mengukuhkan pembangunan modal insan selain menghasilkan generasi yang kompeten dan berdaya tahan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM55 juta untuk biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam kursus berkaitan kemahiran dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sehingga peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama dengan MyProdigy Malaysia melalui persidangan maya ‘Bridging the Skills Gap’ yang dianjurkan oleh MyProdigy baru-baru ini.

Katanya, pengangguran belia di Malaysia telah menjadi kebimbangan
terutamanya di Sabah yang mana sebahagian besar belia terdiri daripada separuh kategori mahir dan berkemahiran rendah.

"Seperti kebanyakan dunia, Malaysia harus menghadapi cabaran dalam mendidik dan menggunakan belia yang seharusnya menjadi individu yang produktif untuk dapat menyumbang kepada pembangunan sebuah negara.

"Sekiranya pengangguran belia tetap tinggi dan berpanjangan, kesan negatif untuk jangka panjang akan berlaku terhadap keluarga dan masyarakat serta akan merosakkan negara," katanya.