KOTA KINABALU:Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merekodkan seramai 833 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital semalam, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang telah sembuh di negeri itu adalah seramai 19,721 orang,

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata seramai 2,266 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 671 di hospital dan 1,595 lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Di PKRC adalah 5,569 katil dan 1,007 katil di hospital, menjadikan jumlah keseluruhan 6,576 katil dan peratus penggunaan katil pada hari ini adalah 34.45 peratus," katanya dalam kenyataan di sini.

"Bilangan pesakit COVID-19 dalam Unit Rawatan Rapi ialah 79 orang dan 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Masidi berkata sebanyak 96 kes atau 41.38 peratus daripada 232 kes positif baharu COVID-19 direkodkan di Sabah hari ini adalah dari Kota Kinabalu, Lahad Datu, Beluran dan Kota Belud yang dikenal pasti berpunca daripada saringan kontak rapat, manakala 136 kes daripada kategori lain.

Beliau turut menasihati rakyat Sabah supaya segera menjalani ujian saringan sekiranya mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif COVID-19.

Sementara itu, Masidi berkata, kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 224,251 bakul makanan kepada golongan sasar di seluruh Sabah, setakat ini.

-- BERNAMA