Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti beberapa individu dan kumpulan kecil yang cuba menghasut rakyat untuk membawa Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, polis akan membuka kertas siasatan terhadap individu terbabit, yang turut melibatkan ahli politik serta bekas ahli politik, jika mereka masih meneruskan niat jahat mereka itu.

Menurut Zahid, pihaknya percaya individu terbabit berkemungkinan besar bersekongkol dengan satu kesultanan yang tidak lagi wujud serta dijanjikan jawatan tertentu jika berjaya berbuat demikian.

Justeru, Zahid memberi amaran keras kepada individu-individu terbabit untuk menghentikan perbuatan mereka sebelum tindakan keras diambil.

Tambah beliau, selain Akta Hasutan 1948, undang-undang dan akta sedia ada lain boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat, khususnya dalam dari sudut menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.


“Jika ada indvidu dan kumpulan kecil yang terus membangkitkan perkara itu, polis - berdasarkan maklumat yang dikumpulkan - akan mengambil tindakan.

“Kita bukan hanya sekadar mengunakan Akta Hasutan 1948, tetapi terdapat beberapa lagi undang-undang dan akta-akta yang boleh digunakan Peguam Negara untuk melakukan pendakwaan terhadap mereka, terutamanya dalam aspek penderhakaan terhadap DYMM Agong.

“Saya minta mereka hentikan sebelum menanggung akibatnya,” kata Ahmad Zahid.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Lumut pada Sabtu yang turut disertai Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan isu neo-kolonialisme yang ditimbulkan pihak terbabit adalah tidak benar sama sekali kerana Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada Malaysia.

Zahid memberitahu isu tersebut masih lagi belum menjadi isu yang besar dan pihak terbabit hanya mahu memperbesarkan perkara-perkara yang tidak relevan dengan niat menghasut rakyat.