Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata jumlah pelancong China ke Sabah tahun ini, dijangka sama seperti tahun lepas kira-kira 300,000 orang.

Masidi berkata negara ini akan terus menyaksikan ketibaan pelancong China ke Malaysia selepas tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 pada Mac tahun lepas.

"Jumlah ini (ketibaan pelancong China ke Sabah) jauh berbeza berbanding 2013. "Tetapi dengan pembukaan pejabat Konsulat Jeneral China sekarang di KK (Kota Kinabalu) saya pasti kami boleh bekerjasama meningkatkan bilangan pelancong China untuk kembali ke Sabah pada tahun-tahun berikutnya," katanya.

Teks ucapan Masidi dibacakan Timbalannya Datuk Pang Yuk Min pada majlis perasmian tayangan khas sembilan filem dari China anjuran pejabat Konsulat Jeneral China di Sekolah Menengah Rendah Kian Kok bermula semalam hingga 27 Sept.

Filem yang bukan bertujuan meraih keuntungan itu bagi meningkatkan pertukaran budaya antara China dan Malaysia serta memperkenalkan budaya tradisional China dan pembangunan kontemporari negara Tembok Besar China itu.

Masidi berkata hubungan Malaysia-China semakin kukuh setiap tahun sejak hubungan diplomatik dijalin 41 tahun yang lepas.

Beliau berharap filem itu dapat menyalurkan wawasan pembangunan China sejak berdekad yang lalu dan memberi pemahaman yang lebih baik mengenai rakyat China dan kerajaan akan bekerja keras untuk menarik mereka ke Sabah.

"Saya percaya pengetahuan mengenai budaya tradisional China dan perkembangan terkini negara itu akan memupuk persahabatan antara rakyat kedua-dua negara," katanya.

Konsul Jeneral China Chen Pei Jie berkata tayangan filem itu memberi peluang untuk berkongsi pakaian tradisi rakyat China, sejarah dan kemanusiaan dan mengukuhkan lagi persahabatan antara China dan Negeri di Bawah Bayu.

Beliau berkata ketika Ranau dilanda gempa bumi pada 5 Jun lepas, Konsulat Jeneral China di KK menyumbangkan RM50,000 untuk bantuan bencana alam itu.

Tambah beliau dengan semangat kebersamaan dan saling memahami China berharap untuk membina masa depan lebih baik dengan Malaysia.