KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah sebagai usaha untuk menyelamatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri tersebut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan segera sebanyak RM250,000 telah disediakan untuk tujuan pengubahsuaian rumah agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara.

Jelas beliau, pusat perlindungan berkenaan dijangka mula beroperasi pada penghujung tahun ini.

"Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menyelamat dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara di setiap daerah yang dikenal pasti di negeri Sabah.

"Pusat Perlindungan Sementara ini akan diselia oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am serta dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Pilot project akan dilaksanakan di Kota Kinabalu di mana Kerajaan Negeri telahpun mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami untuk dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.


Hajiji menjawab pertanyaan Kedamaian, Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang meminta penjelasan apakah usaha untuk membanteras isu kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya serrta lampu isyarat di sekitar Kota Kinabalu

Menjawab lanjut, Hajiji yang juga ADUN Sulaman berkata kanak-kanak yang akan diselamatkan oleh pihak berkuasa itu bakal melalui program khas kemahiran pengurusan diri, hidup bermasyarakat, serta pembelajaran rohani secara tidak rasmi.

Katanya lagi, kanak-kanak terbabit kemudian akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga masing-masing apabila tempoh tiga bulan berakhir.

"Semasa penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan," ujar Hajiji.

Dalam masa yang sama, Hajiji mengakui kewujudan golongan itu yang menjalankan aktiviti mengemis, selain berkeliaran terutama di kawasan bandar seperti Lahad Datu dan Kota Kinabalu akan memberi imej negatif terhadap kerajaan negeri.