TUARAN: Kerajaan Sabah menetapkan tujuh keutamaan dalam membangunkan bidang kebudayaan di negeri ini yang telah dimulakan sejak 2021 hingga 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tujuh keutamaan itu ialah pendigitalan seni budaya atau eCulture; pelancongan budaya bersepadu; pemuliharaan budaya; pengukuhan hubungan etnik; penyelidikan dan dokumentasi budaya; pengembangan seni budaya; dan perlindungan harta intelek.

Menurutnya, tujuh keutamaan itu sejajar dengan inisiatif Sabah Maju Jaya dalam pembangunan budaya pelbagai etnik di negeri ini dan peranan tersebut dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

“Kita mahu menerusi tujuh keutamaan ini, semua badan kebudayaan dan komuniti membangun bersama, menghayati dan menjiwai nilai kebudayaan yang diwarisi, seterusnya diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Duang Festival di Rumah Kebudayaan Rumpun Bajausama di sini pada Ahad.

Selain itu Hajiji menambah, sejumlah RM14 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan budaya di negeri Sabah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), manakala RM9.5 juta lagi diperuntukkan oleh kerajaan negeri kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan telah meluluskan empat projek berimpak besar dengan peruntukan sebanyak RM4.5 juta iaitu Projek Pemetaan Budaya 2021-2025, dan Pelan Pembangunan Kebudayaan Negeri Sabah 2020-2030.

"Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM9.5 juta kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) dalam Belanjawan 2023 Sabah untuk melaksanakan pelbagai program bagi memulihara kekayaan dan warisan seni budaya etnik negeri ini," katanya.

Pada masa sama, peruntukan tersebut menurut Hajiji turut digunakan untuk beberapa projek peningkatan produk pelancongan Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom, dan projek pembangunan infrastruktur Pusat Kebudayaan Sabah Penampang selain pembinaan Hentian Budaya di Kota Belud dan Tawau.