Skip to main content

Malaysia

Sabah tubuh jawatankuasa khas kaji subsidi bersasar susulan kenaikan harga minyak global

KOTA KINABALU, 3 Dis -- Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun ketika sidang media selepas melapor diri di Pejabat Menteri Kewangan hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Masidi berkata, pihaknya akan mencadangkan subsidi bersasar namun tertakluk kepada hasil dapatan kajian dan syor yang dikemukakan jawatankuasa khas itu. - Gambar fail/Bernama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji keperluan melaksanakan subsidi bersasar sebagai usaha membantu sektor yang terkesan akibat kenaikan harga minyak global, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, pihaknya akan mencadangkan subsidi bersasar namun tertakluk kepada hasil dapatan kajian dan syor yang dikemukakan jawatankuasa khas itu.

Advertisement

“Kementerian Kewangan Sabah akan mencadangkan rasionalisasi perbelanjaan sedia ada bagi memastikan perbelanjaan kerajaan negeri dilaksanakan secara berhemat dalam menghadapi tempoh krisis ini kerana kunci utama kelestarian ekonomi di fasa krisis terletak kepada kecekapan perbelanjaan.

“Usaha ini juga untuk memastikan Sabah dapat mengekalkan kemampanan dan berdaya tahan dalam tempoh panjang tanpa menjejaskan rizab fiskal negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini, pada Rabu.

Masidi juga berkata, Sabah masih perlu bergantung kepada Pinjaman Persekutuan kerana pelaksanaan projek pembangunan seperti pembinaan jalan raya, perkhidmatan pembetungan, pengairan dan saliran serta penyediaan bekalan air akan melibatkan nilai pelaburan tinggi.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan Pinjaman Persekutuan yang telah matang dan perlu dibayar balik adalah sebanyak RM3.2 bilion.

Walaupun jumlah pinjaman tinggi namun jumlah bayaran balik pinjaman adalah jauh lebih rendah, katanya.

“Kerajaan Sabah hanya membayar balik pinjaman dalam anggaran RM220 juta setahun sahaja bagi pinjaman yang telah matang. Kerajaan Sabah merupakan “good paymaster”, sentiasa membuat bayaran balik mengikut jadual pembayaran ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk melaksanakan beberapa langkah bagi mengurangkan kebergantungan kepada Pinjaman Persekutuan.

Antaranya memperkukuh kedudukan kewangan melalui peningkatan hasil, mengoptimumkan kutipan hasil sedia ada serta menggalakkan semua jabatan untuk meneroka dan menjana hasil baharu, katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video