KUALA LUMPUR: Kerja baik pulih susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi dan Seremban selesai dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) kembali beroperasi.
Bagaimanapun, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral masih mengalami kesan kelewatan sementara bagi membolehkan jadual operasi distabilkan.
KTMB memaklumkan setakat 3.30 petang tadi, lapan perkhidmatan ETS masih mengalami kelewatan, iaitu tren EX9573 yang lewat tiga jam 34 minit, EP9524 (dua jam 35 minit), EP9326 (sejam 40 minit) dan EP9428 (25 minit).
Turut mengalami kelewatan ialah tren EP9323 (dua jam 11 minit), EG9343 (sejam 14 minit), EG9442 (dua jam 51 minit) dan EX9575 (sejam).
KTMB memaklumkan penumpang ETS yang terkesan dengan kelewatan tren melebihi dua jam dan memilih tidak meneruskan perjalanan boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh di kaunter tiket.
“Sebagai langkah kebajikan dan mengurangkan kesulitan penumpang, KTMB menyediakan makanan serta minuman ringan kepada penumpang bagi perkhidmatan tren yang mengalami kelewatan melebihi dua jam sebagai penghargaan atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, anggota Polis Bantuan KTMB dan petugas operasi di Stesen Seremban turut membantu menguruskan pergerakan penumpang dan menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan kelancaran urusan mereka yang terjejas.
KTMB memaklumkan sejurus gangguan dikenal pasti, notifikasi awal dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terlibat untuk memaklumkan status semasa dan jangkaan kelewatan bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih baik.
“KTMB sedang memantau rapat pergerakan tren bagi memastikan jadual operasi kembali pulih sepenuhnya dalam kadar segera,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA