KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony kerana memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sembilan tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Peter, 52, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022.

Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam S. Devanandan yang mewakili Peter untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya sementara menunggu pelupusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada Jun tahun lepas, Peter memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara dan denda yang dijatuhkan oleh Hakim Azura Alwi selepas mendapati dia bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu membayar denda RM50,000.

-- BERNAMA