Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Sahabat MADANI Selangor perluas penglibatan belia dalam khidmat komuniti - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata platform itu bertujuan menggalakkan lebih ramai anak muda menyumbang tenaga dan terlibat secara aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan di Selangor. - Gambar fail/Bernama
Tengku Zafrul berkata platform itu bertujuan menggalakkan lebih ramai anak muda menyumbang tenaga dan terlibat secara aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan di Selangor. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelancaran inisiatif Sahabat MADANI Selangor berupaya memperkasa penglibatan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat komuniti, khususnya bagi membantu masyarakat setempat.

Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif itu adalah kesinambungan pelancaran Sahabat MADANI oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang pada Ogos lepas.

Beliau berkata platform itu bertujuan menggalakkan lebih ramai anak muda menyumbang tenaga dan terlibat secara aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan di Selangor.

"Antara aktiviti yang boleh disertai ialah program gotong-royong bersama dengan pihak berkuasa tempatan contohnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya, selain pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.

"Sahabat MADANI menyediakan platform yang sesuai bagi memudahkan golongan belia menyertai program sedemikian dan menyumbang kepada pembangunan komuniti," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Kejohanan Muay Thai Rentap Pandan MADANI 2026 di Kompleks Muhibbah di sini malam Sabtu. 

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia menzahirkan harapan agar wakil negara yang mara ke pentas akhir Terbuka Denmark 2026 berupaya melakar kejayaan dan membawa pulang kejuaraan esok.

Beliau berkata kemaraan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah ke final adalah perkembangan positif yang mencerminkan prestasi memberangsangkan pemain negara itu.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik menjadi wakil pertama Malaysia mengesahkan tempat di final selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-14, 21-18.

Pearly-Thinaah kemudian melengkapkan kemaraan Malaysia menerusi kemenangan 21-16, 21-14 ke atas pasangan China, Bao Li Jing-Cao Zi Han di SJF Bank Arena, Odense.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement