KUALA LUMPUR: Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengalami kejatuhan sejurus urus niaganya disambung semula hari ini.

Pada 9 pagi, kaunter itu jatuh 30 sen kepada RM10.10 tetapi kemudiannya kejatuhan itu berkurangan di antara 14 dan 28 sen sesaham.

Kaunter itu berada di tempat ketiga dalam senarai kejatuhan teratas di Bursa Malaysia pada harga RM10.12 sesaham setakat 10.10 pagi.

Semalam, MAHB meminta semua sekuriti syarikatnya digantung urus niaga bagi pengumuman material.

Ia kemudian mengumumkan bahawa sebuah konsortium, yang diketuai oleh dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan iaitu Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah membuat tawaran pengambilalihan bernilai RM18.4 bilion.

Konsortium itu, Gateway Development Alliance (GDA), menawarkan RM11 sesaham.

Pemegang saham lain dalam konsortium itu terdiri daripada anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur utama dunia dengan berpengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang, menurut kenyataan bersama daripada pemegang saham GDA.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus.

MIDF Research berkata tawaran RM11.00 sesaham konsortium itu mewakili premium 26 peratus berbanding nilai saksama terbitan aliran tunai terdiskaun (DCF) sebanyak RM8.75.

"Urus niaga itu meletakkan penilaian pada 9.2 kali dan 7.6 kali nilai/pendapatan syarikat sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan untuk tahun kewangan 2023/2024, yang kami anggap munasabah berbanding purata sejarah lima tahun sebanyak 9.3 kali," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata nilai saksama terbitan DCF untuk MAHB kekal pada RM8.75.

"Dengan mengandaikan prasyarat sama ada dipenuhi atau diketepikan, kami mengesyorkan pelabur menerima tawaran pembelian pada harga RM11.00 sesaham," katanya.

MAHB menjadi pengendali lapangan terbang Asia pertama yang disenaraikan dan yang keenam di dunia berbuat demikian pada 1999.

Hari ini, ia merupakan salah satu kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi bilangan penumpang yang dikendalikan, menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia dengan lima lapangan terbang antarabangsa, 17 domestik dan 17 STOLports serta satu lapangan terbang antarabangsa di Turkiye.

-- BERNAMA